Carian
Siri Garmin MARQ Generasi Baharu Diperkenalkan Dalam Lima Pilihan Model
October 12, 2022 Amy Maizuraa

Koleksi peranti boleh pakai Garmin di bawah siri MARQ telah dikemaskini dengan lima penawaran baharu. Ini termasuklah MARQ Athlete (Gen2) , MARQ Adventurer (Gen2), MARQ Golfer (Gen2), MARQ Captain (Gen2) dan MARQ Aviator (Gen2) yang didatangkan dengan tubuh tahan lasak bersama kemasan yang premium.

Kesemua koleksi MARQ baharu ini dibuat daripada bahan premium seperti sapphire crystal, ceramic dan jacquard-weave nylon. Kemudian, kerangka titanium Gred-5 yang digunakan didakwa lima kali lebih kuat berbanding kebanyakan keluli, sekaligus menjadikannya tahan calar dan ringan. Pilihan tali juga adalah pelbagai yang merangkumi titanium, kulit, nilon dan silikon.

Turut disertakan adalah sensor kesihatan dan kecergasan terbina yang merangkumi pemantauan kadar degupan jantung, pernafasan dan penjejakan tekanan, pola waktu tidur, pemantauan tenaga dalam badan dan Jet Lag Adviser. Pembaharuan yang dibuat untuk kali ini termasuklah sokongan untuk GNSS berbilang jalur, GPS berbilang frekuensi (L1+ L5) dan teknologi Garmin SatIQ yang boleh memilih mod sateli bersesuaian dengan alam sekitar dalam masa nyata.

Kapasiti bateri tidak didedahkan tetapi diiklankan mampu bertahan mencapai 16 hari dalam mod jam tangan pintar. Sungguhpun berkongsi sebilangan ciri dan fungsi yang sama, namun setiap satu daripada model mempunyai fokus tersendiri.

Misalnya seperti MARQ Athlete (Gen2) ditujukan kepada atlet, maka ia dilengkapi pelbagai sensor penjejakan dan aplikasi latihan. Sementara itu, MARQ Adventurer (Gen2) pula direka dengan elemen lebih klasik dengan reka bentuk kulit di sisi dan tali sejenis getah hibrid yang tahan lama. Turut disertakan adalah bezel kompas yang boleh digunakan sewaktu mengembara.

MARQ Golfer (Gen2) pula dikhususkan buat pemain golf, di samping lengkap dengan lebih daripada 42,000 peta padang glof di seluruh dunia. Kemudian, MARQ Captain (Gen2) pula bersesuaian buat penggemar aktiviti laut misalnya seperti tentera laut. Turut disertakan adalah penggera yang akan memberi isyarat kepada perubahan air pasang surut dan seretan sauh.

Akhir sekali, MARQ Aviator (Gen2) yang dikhususkan buat juruterbang dan boleh digunakan untuk menavigasi ke lokasi dalam pangkalan data aeronautik di seluruh dunia. Turut disertakan adalah sokongan JetLag Advisor, radar NEXRAD dan akses cuaca penerbangan. Untuk harga, koleksi baharu ini akan dipasarkan bermula $1900 (~RM8,894) sehingga $2400 (~RM11,235) bergantung kepada jenis model.

Komen