Cari @ Amanz

Google Pixel adalah antara telefon pintar yang baik dan mempunyai banyak ciri Android eksklusif yang tidak dapat digunakan pada peranti Android lain. Walaupun peranti ini tidak dilancarkan di Malaysia, ia masih mempunyai ramai peminat dan ada juga yang membeli set import bagi peranti ini.

Disebabkan Google Pixel tidak rasmi di Malaysia, ia mengalami masalah rangkaian di mana sokongan VoLTE tidak dapat digunakan. Dengan rangkaian 3G sudah ditutup di Malaysia, ia menjadikan penggunaan peranti set import ini lebih bermasalah.

Ramai pengguna Malaysia melaporkan isu ini kepada Google dan terkini melalui issuetracker.google.com, seorang wakil telah mengesahkan yang peranti Pixel 5 dan ke bawah tidak akan sama sekali menyokong VoLTE. Akan tetapi, Pixel 6, Pixel 6 Pro, Pixel 6a, Pixel 7 dan Pixel 7 Pro akan sedia menyokong VoLTE untuk Celcom, Digi dan Maxis.

Sokongan ini mula disedari oleh pengguna Pixel 6 melalui kemaskini Android 13 QPR1 versi beta, di mana suis mengaktifkan VoLTE mula muncul. Kini ia sudah rasmi dan mereka yang menggunakan lima peranti boleh menggunakan kad SIM Celcom, Digi dan Maxis tanpa sebarang masalah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd