Pelbagai syarikat penstriman video kini dilihat ingin mengambil salah satu model perniagaan dari penyedia China dalam mempelbagaikan pendapatan mereka, iaitu penyertaan pengiklanan pada perkhidmatan penstriman video.
Pihak Disney+ Hotstar sedia melaksanakannya di India buat masa ini, selain Netflix yang kini dalam perancangan memperkenalkan ciri pengiklanan pada platform mereka – sekaligus membolehkan pengguna menikmati akses kandungan pada harga langganan lebih rendah.
Kini selain Netflix, Apple turut dilaporkan sedang mempertimbangkan penawaran Apple TV+ yang dilengkapi sokongan paparan iklan.
Apple dilaporkan telah bertemu beberapa agensi dalam membincangkan integrasi pengenalan pengiklanan pada Apple TV+. Ia dijangka Apple memperkenalkan pengiklanan pada Apple TV+ seawal 2023 kelak.
Dengan pengenalan pelan percuma yang disokong iklan, Apple menyasarkan kandungan Apple TV+ ditonton lebih meluas lagi berbanding hari ini.
Laporan baharu ini hadir selari pengumuman Apple TV akan hadir ke Windows pada 2023 kelak.