Carian
Infinix INBook X2 Plus Diperkenalkan Dengan Cip Intel Generasi Ke-11 Dan GPU Intel Iris Xe
October 13, 2022 Amy Maizuraa

Infinix sedia hadir dengan beberapa penawaran komputer riba tersendiri dan kini ia telah dikemaskini dengan satu lagi penawaran baharu. Melaluinya Infinix INBook X2 Plus telah diperkenalkan dengan beberapa elemen yang memfokuskan terhadap kerja produktiviti.

Ia hadir dengan skrin IPS sebesar 15.6-inci beresolusi FHD (1920 x 1080 piksel). Beberapa ciri tambahan yang turut disertakan termasuklah kecerahan puncak 300 nits dan sokongan untuk gamut warna sRGB 100%. Ia kemudiannya dipadankan dengan pilihan CPU Intel generasi ke-11, GPU Intel UHD/Iris Xe, memori sehingga 16GB LPDDR4x dan storan NVMe PCIe 3.0 SSD sebesar 512GB.

Kapasiti bateri tidak didedahkan tetapi ia diiklankan mampu beroperasi sehingga 10 jam penggunaan. Turut disertakan adalah sistem pengecasan pantas 65W yang mampu mengecas semula komputer riba ke tahap 65% sekitar satu jam.

Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan Windows 11 Home, pembesar suara stereo dengan DTS audio, kamera web FHD dan sokongan bluetooth 5.1. Pilihan I/O pula terdiri dengan 2 X USB Type-C, 2 X USB 3, 1 X hdmi 1.4, 1 X slot SD Card dan bicu audio 3.5mm. Untuk harga, Infinix INBook X2 Plus dijual bermula Rs 32,990 (~RM1,880) sebuah.

Komen