Xiaomi Cloud Gallery Sync adalah perkhidmatan storan awan Xiaomi yang ditawarkan kepada semua pengguna Xiaomi untuk menyandarkan gambar dan video di storan awan mereka. Perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma dengan 10GB storan diberikan.
Pilihan naik taraf turut ditawarkan seperti saiz 50GB, 200GB atau yang paling besar 2TB. Tetapi bayaran langganan adalah dalam Yuan dan kaedah pembayaran perlu menggunakan WeChat Pay atau Alipay.

Xiaomi kini mengumumkan yang perkhidmatan Xiaomi Cloud Gallery Sync untuk pengguna global akan ditamatkan bermula pada tahun ini, namun masih tiada tarikh diberikan. Buat masa ini, semua gambar dan video masih lagi boleh diakses para pengguna. Mereka yang melanggan storan lebih besar juga masih boleh menggunakan seperti biasa.
Xiaomi sedang bekerjasama dengan Google untuk memudahkan pengguna melakukan pemindahan data terus ke Google Cloud. Semua ini akan bermula pada tahun ini secara berperingkat. Ciri pemindahan data ini akan ditawarkan melalui aplikasi Xiaomi Gallery, di mana pengguna akan lihat cara melakukannya apabila ia sedia ditawarkan.

Kemudian pada tahun 2023, semua gambar dan video akan mula dipadam dan pilihan pemindahan data ke Google Photos turut akan dihentikan. Bagi mereka yang ingin melakukan pemindahan data ini lebih awal, kaedah manual boleh mula dilakukan melalui laman web Xiaomi Cloud dan muat turun semua data ke komputer. Selepas selesai, lakukan sandaran ke Google Photos pula.
Mereka yang sedia melanggan storan tambahan Xiaomi Cloud, wang akan dipulangkan kembali pada tarikh yang akan diumumkan nanti. Xiaomi tidak memberi sebarang penjelasan kenapa ciri ini dihentikan. Sama-sama kita nantikan.