Sudah lebih 11 tahun Steve Jobs meninggal dunia kerana kanser pankreas. Semasa hidup, beliau tidak melakukan banyak temubual dengan ia terhad kepada beberapa media ternama dan acara khas sahaja. Oleh kerana beliau meninggal dunia sebelum teknologi podsiar, kecerdasan buatan dan metamesta matang ramai pastinya tertanya-tanya apakah pendapat beliau mengenai teknologi ini jika beliau masih lagi hidup.
Podcast.ai telah menggunakan kecerdasan buatan untuk menghasilkan sebuah episod podsiar dimana mendiang Steve Jobs ditemubual oleh Joe Rogan. Kedua-dua suara individu terkemuka ini dihasilkan sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan menggunakan sampel rakaman audio yang pernah dilakukan sebelum ini.
Hasilnya ialah sebuah episod temubual palsu yang kedengaran agak realistik cuma agak aneh kerana tona suara yang kedengaran agak aneh. Penggunaan kecerdasan buatan untuk menghasilkan audio baharu yang tidak pernah diucapkan ole individu sebenar membuka pelbagai persoalan mengenai etika.
Tahun ini kecerdasan buatan digunakan untuk menghasilkan suara Val Kilmer dalam filem Top Gun Maverick kerana beliau tidak lagi boleh bercakap. Sebelum itu suara beliau dijana menggunakan kecerdasan buatan untuk menjadi narator dokumentari Val. James Earl Jones pula menjual hak penggunaan suara kepada firma kecerdasan buatan supaya boleh digunakan dalam projek filem di masa hadapan.