Siri Redmi K50 telah dilancarkan sebelum ini sebagai barisan peranti yang memfokuskan terhadap prestasi. Terdapat beberapa variasi cip pemprosesan yang ditawarkan termasuklah Snapdragon 8+ Gen 1 pada Redmi K50 Ultra dan Redmi K50 Gaming Edition.

Terbaharu timbul spekulasi yang mendakwa Xiaomi kekal menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 pada model kemas kini baharu kelak iaitu Redmi K60. Perkara ini dikongsi oleh Digital Chat Station menerusi ciapan terkini di Weibo. Dalam pada itu, peranti juga dikhabarkan telah berada di fasa ujian pengesahan untuk reka bentuk, kemudian pembuatan untuknya akan menyusul selepas itu.

Jangkaan awal mendapati peranti ini mungkin dilengkapi skrin 2K di samping kapasiti bateri 5500mAh dengan sistem pengecasan berwayar 67W. Turut disertakan adalah kebolehan mengecas secara nirwayar dengan kuasa output 30W. Seperti model terdahulu, peranti juga dijangka meneruskan fokus terhadap prestasi.