Carian
Vivo X90 Pro+ Mungkin Dilengkapi Dengan Sensor 1-Inci Dan Snapdragon 8 Gen 2
October 13, 2022 Amy Maizuraa

Peranti di bawah siri Vivo X sebahagian besarnya memfokuskan terhadap penawaran spesifikasi berkelas mercu di disamping kemampuan pengimejan mudah alih yang baik. Ditambah lagi dengan kerjasama daripada pihak Zeiss yang awalnya diumumkan pada siri Vivo X60, sekaligus meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri.

Bercakap dengan lebih lanjut, model kemas kini untuk siri berkenaan kini tertiris di arena web. Ia bukan sahaja memperlihatkan reka bentuk, malahan beberapa spesifikasi utama turut dikongsi menerusi ciapan Ben Geskin di Twitter.

Cip Snapdragon 8 Gen 2 mungkin digunakan sebagai tunjang utama peranti, di samping bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W. Bukan itu sahaja, sensor bersaiz satu-inci turut disertakan yang dijangka mampu menawarkan pengalaman pengimejan lebih baik berbanding sebelum ini.

Dari segi rekaan pula, ia memperlihatkan sebuah peranti dengan kemasan serba hitam dengan dua tona warna yang berbeza. Seterusnya sistem kuad-kamera turut disertakan pada panel belakang ini dengan susunan kamera 2X2 bersama bonggol berbentuk bulat. Salah satu daripadanya adalah sensor berbentuk empat segi, sekaligus memberi gambaran ia mungkin mempunyai kemampuan zum yang tinggi.

Bersama-sama dengannya, penjenamaan Zeiss yang boleh dilihat dengan jelas turut menunjukkan Vivo meneruskan kerjasama dengan syarikat berkenaan untuk sistem kamera pada peranti ini. Seperti pendahulunya, model pembaharuan ini juga dijangka hadir dalam beberapa variasi berbeza yang merangkumi Vivo X90 dan Vivo X90 Pro.

Komen