Pengurus Kata Laluan Lastpass Kini Boleh Digunakan Dalam Meta Quest

Diterbitkan pada Okt 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Meta sedang mengembangkan lagi sokongan Meta Quest agar ia lebih menarik untuk digunakan. Ia bukan lagi set kepala realiti maya untuk permainan video dan kecergasan, tetapi turut untuk kerja dan produktiviti yang lebih imersif.

Selain daripada Meta Quest Pro, sokongan pelbagai perkhidmatan Microsoft, Codec Avatars 2.0 untuk watak maya lebih realistik – mereka turut menyertakan sokongan Lastpass ke dalam Meta Quest.

Lastpass adalah antara perkhidmatan pengurus kata laluan yang popular. Baru-baru ini aplikasi web (PWA) 2D Lastpass telah ditambah ke gedung aplikasi Meta Quest Store. Aplikasi ini akan memberi akses pantas dan selamat kepada nama pengguna dan kata laluan, butiran kad kredit/debit, alamat dan banyak lagi yang disimpan ke dalam perkhidmatan ini.

Buat masa ini, ia masih tidak menyokong ciri auto-isi dan pengguna perlu melakukan cara salin dan tampal. Kemudian pelayar web terbina dalam Meta Quest juga masih tiada pemalam atau integrasi Lastpass, kedua-dua ciri ini hanya akan ditambah pada tahun hadapan.

komen


© Amanz / 2022 Kami