Wear OS 3.0 adalah sistem operasi untuk jam tangan pintar Google yang dilancarkan pada Ogos 2021. Samsung Galaxy Watch4 adalah jam pertama yang menggunakan sistem operasi ini, ia kemudian digunakan pada Mont Blanc Summit 3 serta Galaxy Watch5 dan yang terkini adalah Pixel Watch.

Tiada jam lain yang menjalankan sistem operasi ini, tetapi Mobvoi dan Fossil pernah menyatakan mereka akan hadir dengan jam Wear OS 3 pada tahun ini. Kini Fossil telah melancarkan jam tangan pintar baharu dan pertama mereka yang menjalankan Wear OS 3. Jam ini adalah Fossil Gen 6 Wellness Edition dan ia dijana dengan Snapdragon Wear 4100+, bukannya Snapdragon W5 Plus.

Fossil Gen 6 Wellness Edition hadir dengan tubuh bersaiz 44mm dengan skrin 1.28-inci OLED, mempunyai memori 1GB RAM dan storan dalaman 8GB. Jam ini mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan Fossil Gen 6 sebelum ini, cuma kali ini ia memfokuskan lebih kepada kecergasan dan pemantauan kesihatam pengguna. Paling utama, ia adalah jam Wear OS 3 pertama Fossil dengan antaramuka baharu, sokongan YouTube Music, Spotify, Facer, Amazon Alexa dan banyak lagi ciri menarik.

Jam ini turut boleh disambungkan pada aplikasi Fossil Smartwatches dan aplikasi baharu Wellness untuk pemantauan kadar oksigen dalam darah, kardio VO2 Max, pengesanan senaman automatik, ciri imbasan nadi baharu, pemantauan tidur yang lebih baik, serta banyak lagi.
Jam ini hadir dengan pilihan tubuh berwarna hitam, perah atau emas jambu dan akan dijual pada harga $299 (~RM1,405) bermula 17 Oktober ini di pasaran terpilih.