Bukan perkara asing di mana aplikasi pemesejan pihak ketiga boleh dijadikan sebagai aplikasi lalai untuk menerima SMS atau MMS. Tetapi kemampuan ini terhad pada peranti Android, contohnya aplikasi Facebook Messenger jika dipasang akan ada pilihan menjadikannya sebagai aplikasi SMS lalai. Begitu juga dengan aplikasi Signal.
Terkini, Signal mengumumkan yang sokongan SMS dan MMS untuk aplikasi Android mereka akan dihentikan. Ciri ini sebenarnya sudah diperkenalkan semasa Signal masih dikenali sebagai TextSecure, iaitu aplikasi SMS yang memfokuskan privasi dan sekuriti pengguna. Ketika itu, protokol penyulitan yang digunakan adalah Axolotl.
Kini Signal sudah menjadi platform media sosial, atau perkhidmatan pemesejan yang menjamin keselamatan pengguna – mereka sudah mempunyai visi dan misis baharu. Jadi sudah sampai masa mereka menghentikan penawaran SMS dan MMS dan fokus kepada pemesejan atas talina sahaja agar boleh bersaing dengan WhatsApp, Telegram dan lain-lain lagi.
SMS dan MMS juga semakin lama semakin kurang digunakan kerana RCS oleh Google dan juga iMessage oleh Apple.