Ulasan Vivo V25 Pro – Peranti Pertengahan Dengan Fokus Fotografi Mudah Alih

Diterbitkan pada Okt 19, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo V25 Pro telah dilancarkan di Malaysia pada harga RM2499 dengan beberapa pilihan warna yang disediakan seperti Surfing Blue dan Midnight Black. Ini juga adalah pembaharuan baharu untuk Vivo V23 Pro sebelum ini. Masih memfokuskan terhadap sistem pengimejan mudah alih, ia bagaimanapun telah disertakan dengan beberapa penambahbaikan bagi menjadikannya lebih menarik.

Ianya merangkumi skrin lebih besar dengan kadar segar semula 120Hz, kapasiti bateri besar untuk ketahanan lebih baik dan kamera yang lengkap dengan sistem OIS. Kesemua ini dimuatkan dalam sebuah peranti dengan tubuh yang boleh berubah warna pada panel belakang, di mana ia merupakan pendekatan yang sama ditemui pada siri Vivo V23 sebelum ini. Teruskan membaca artikel ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut mengenai peranti baharu Vivo ini.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Vivo V25 Pro 5G
Skrin6.56-inci AMOLED, 1080 x 2400 (FHD+), 120Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 1300 (6nm)
Cip1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM12GB
Muatan Dalaman256GB
Kamera Utama64 + 8 + 2 Megapixel, OIS
(f/1.9 + f/2.2 + f/2.4), 
[email protected], [email protected]
Kamera Depan32 Megapixel (f/2.2)
[email protected]
Bateri4830 mAh
Pengacasan Pantas 66W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCAda
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Bawah Skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanRM2,499

Dari segi rekaan, telefon pintar ini mempunyai panel hadapan hadapan melengkung pada kedua-dua belah sisi bersama penggunaan rekaan berlubang kecil di tengah untuk sokongan kamera swafoto tunggal. Gabungan sisi peranti yang dibulatkan bersama tubuh nipis juga dapat memastikan telefon pintar ini sentiasa selesa dipegang di dalam genggaman.

Bersama-sama dengannya, ia turut dimuatkan dengan saiz bezel yang tidaklah terlalu tebal mahupun nipis, ini termasuklah pada bahagian dagu dan dahi. Seterusnya skrin sebesar 6.56-inci AMOLED yang digunakan mungkin bukanlah paling besar di pasaran pada waktu ini. Bagaimanapun, ia mencukupi untuk penggunaan pelbagai aktiviti harian, misalnya seperti membaca artikel, melayari web, menonton kandungan video dan bermain permua (permainan mudah-alih).

Dengan resolusi FHD+, skrin telefon pintar ini kelihatan serba serbi cukup cantik, terang dan tajam dengan kontras warna yang baik dalam keadaan tertentu. Maksud kami di sini, pengalaman yang memuaskan adalah sewaktu penggunaan peranti di kawasan tertutup atau tiada pencahayaan yang ekstrem. Jika sebaliknya, skrin telefon pintar akan bertukar menjadi malap sekaligus menjadikan kandungan padanya agak sukar untuk dilihat mahupun dibaca.

Turut disertakan, sokongan kadar segar semula 120Hz yang juga merupakan peningkatan dari 90Hz pada siri Vivo V23 sebelum ini. Kewujudan fungsi ini sudah semestinya bagi memastikan pengalaman tatalan dan peralihan animasi pada telefon pintar yang lancar. Dalam masa sama, terdapat beberapa pilihan tetapan yang disediakan untuknya menerusi tetapan.

Melaluinya, ia membolehkan pengguna memilih sama ada mahu menggunakan 60Hz atau 120Hz secara statik. Atau satu lagi pilihan lain iaitu Smart Switch untuk perubahan kadar segar semula secara automatik bergantung pada kandungan semasa. Kewujudannya secara tidak langsung lebih membantu dalam mengurangkan penggunaan bateri. Jadinya, jangka hayat bateri akan lebih panjang berbanding penggunaan skrin 120Hz secara berterusan.

Kekurangan ketara di sini adalah telefon pintar tidak menyediakan tetapan untuk 90Hz. Ia boleh dikatakan suatu bonus sekiranya ada kerana pengguna lebih bebas memilih. Bagaimanapun ia sebenarnya bukan suatu isu yang besar, malahan tidak semua pengguna yang benar benar memanfaatkan sokongan kadar segar semula tinggi pada sesebuah telefon pintar. Kemudian kegunaan harian asas seperti menatal media sosial atau berbalas mesej di aplikasi Whatsapp, penggunaan skrin 60Hz sudah memadai.

Pada panel hadapan ini juga terdapatnya pengimbas cap jari sejenis optik terbina. Kedudukannya adalah baik dan mudah digunakan dengan kebolehan membuka peranti cukup pantas dan responsif. Sebagai pilihan, telefon pintar ini turut menyediakan sistem imbasan wajah yang juga mampu berfungsi dengan baik bersama tindak balas cukup lancar. Ini termasuklah pengalaman menyahkunci telefon pintar ini di dalam kawasan yang gelap dengan bantuan cahaya daripada skrin semata-mata.

Susun atur butang standard memperlihatkan butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan. Kesemua butang ini mempunyai binaan cukup kukuh dan kedudukannya yang mudah diakses. Sementara itu, tiada apa-apa yang boleh ditemui pada sisi kiri telefon pintar ini. Dari segi sambungan, Vivo menyertakan port sambungan USB-C di bahagian bawah telefon pintar ini yang diapit dengan pembesar suara mono dan sebuah talam dwi-SIM bersaiz nano.

Kekurangan storan? Malangnya, telefon pintar ini tidak disertakan dengan slot untuk kad mikroSD. Kekurangan seterusnya adalah tiada bicu audio 3.5mm tetapi Vivo bermurah hati menyediakan dogel tambahan berserta fon telinga berwayar di dalam kotak pembelian. Penggunaan yang cermat juga amatlah disarankan kerana telefon pintar ini tidak mempunyai sebarang penarafan kalis air dan debu.

Baiklah antara isu yang menjadi pertanyaan dalam kalangan editor kami adalah mengapakah sistem audio masih mono? Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku untuk sebuah peranti dengan harga jualan lebih daripada RM2000. Sedangkan ada sahaja peranti Android asas atau pesaing setarafnya dengan harga lebih rendah mampu menyertakan ciri ini.

Justeru diharapkan model seterusnya kelak disertakan dengan sistem audio lebih baik. Tiada kemampuan kalis air masih boleh dimaafkan tetapi sekurang-kurangnya diharapkan sistem audio stereo boleh diberikan. Pembesar suara mono bukanlah tidak baik, ia masih memuaskan serta lantang tetapi lontaran audio terasa rata. Lebih mengeruhkan keadaan apabila audio menjadi berkecamuk pada kelantangan yang tinggi.

Seperkara yang masih dikekalkan pada model kali ini adalah kebolehan tubuh peranti yang boleh berubah warna pada bahagian belakang. Keadaan ini berlaku apabila telefon pintar ini terdedah kepada cahaya UV, kemudian panel belakangnya akan berubah warna. Misalnya seperti Vivo Surfing Blue dalam artikel ulasan ini, ia boleh berubah warna di antara biru gelap ke biru pucat seterusnya kembali ke warna asal selepas beberapa minit. Hal ini mungkin tidak menarik bagi sesetengah orang, namun kami secara peribadi beranggapan telefon pintar Vivo ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Sebagai pilihan lain, Vivo V25 Pro turut ditawarkan dalam kemasan serba hitam untuk ketrampilan lebih minimalis.


Pengalaman Penggunaan

Vivo V25 Pro menggunakan FunTouchOS 12 yang dibina berasaskan Android 12. Sebahagian besar antara muka nampak kemas dan ringkas. Turut disertakan adalah kebolehan dikostumasi mengikut keperluan tetapi pilihan yang disediakan agak terhad berbanding sejumlah pengeluar lain. Kami juga kurang berkenan dengan pemilihan warna untuk ikon kurang menyerlah serta susun atur di tetapan yang agak bersepah. Begitu juga dengan masalah aplikasi gendut (bloatware), di mana telefon pintar ini sedia lengkap dengan beberapa aplikasi terpasang dan iklan yang berterusan.

Bagaimanapun penggunaan cip MediaTek Dimensity 1300 mampu membuatkan prestasi telefon pintar ini di tahap yang baik. Ini dipadankan pula dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB di Malaysia. Gabungan kesemua ini membuatkan proses membuka dan menukar aplikasi harian terasa lancar tanpa isu yang kronik. Dalam pada itu, kami menggunakan telefon pintar ini sewaktu bermain permua untuk beberapa sesi juga sekadar menjadikannya suam tanpa isu melampau sehingga tidak selesa untuk dipegang. Turut disertakan adalah ciri RAM Extention yang boleh menambah memori secara maya sehingga 8GB RAM.


Kamera

Untuk tetapan fotografi, Vivo V23 5G menggunakan sistem tri-kamera dengan konfigurasi 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (ultra-lebar) dan 2-Megapixel (makro). Turut disertakan pada telefon pintat ini adalah sistem OIS terbina dan kamera swafoto 32MP. Buka sahaja aplikasi kamera, kedua-dua belah kamera menunjukkan antara muka yang mudah untuk difahami.

Kesemua ciri utama boleh diakses dengan baik, selain ia turut dimuatkan dengan beberapa ciri fotografi lain untuk pengalaman pengimejan mudah alih lebih menarik. Misalnya seperti rakaman Dual-Video Video, Pro Sport, Vlog dan banyak lagi. Selain daripada itu, telefon pintar ini turut boleh melakukan rakaman video menapai 4K/30fps dengan kebolehan sistem penstabilan terbina yang disertakan bersama.

Kualiti gambar yang diambil dengan telefon pintar ini adalah baik untuk kebanyakan situasi dengan hasil yang jelas, terang dan tajam. Sistem OIS banyak membantu bagi memastikan setiap gambar yang diambil nampak baik. Penghasilan semula warna juga memuaskan untuk tangkapan dengan kamera utama. Begitu juga dengan hasil gambar potret menunjukkan hasil memuaskan dengan kebolehan mengasingkan subjek dan latar belakang dengan baik. Jika ada kekurangan yang boleh kami katakan mengenainya adalah edge detection yang masih tidak lagi sempurna.

Gambar ultra-lebar pula bergantung kepada situasi semasa tetapi secara peribadi kami berpendapat kebanyakannya memberi hasil yang kurang memuaskan. Penghasilan semula warna nampak memuaskan tetapi butiran gagal dijaga bersama masalah hingar yang ketara. Kebolehan zum yang memuaskan pula setakat 2X, selebihnya mengakibatkan ketajaman gambar mulai hilang dengan softening yang ketara. Dalam pada itu, gambar pada waktu malam juga kelihatan baik dengan butiran yang dikekalkan. Cuma untuk sesetengah keadaan terlalu senang menampakkan kesan hingar, i bagaimanapun masih boleh diatasi dengan mod malam terbina. Melaluinya hasil gambar menjadi lebih terang tetapi sedikit lembut.

Beberapa penuras tambahan turut disediakan melalui mod malam ini untuk hasil gambar lebih menarik. Misalnya seperti Cyberpunk, Black & Gold, Blue Ice dan sebagainya. Lain-lain sensor seperti makro pula menunjukkan kemampuan yang sederhana. Tidak sempurna tetapi baik-baik sahaja untuk digunakan untuk aktiviti seharian. Kemampuan kamera swafoto juga memberikan hasil yang baik dengan ciri kecantikan terbina dan juga pelbagai penuras terbina.


Bateri

Bateri sebesar 4,830mAh disertakan dengan kemampuan jangka hayat bateri yang boleh bertahan lebih 7 jam pada penggunaan sederhana bersama skrin 120Hz yang diaktifkan sepanjang masa. Ia bagaimanapun boleh bertahan lebih lama pada penggunaan biasa dengan tetapan kadar segar semula lebih rendah. Untuk pengecasan semula, telefon pintar ini menyokong sistem pengecasan pantas 66W dan kepala pengecas disediakan sekali di dalam kotak bersama kabel USB-C.


Kesimpulan

Vivo V25 Pro telah ditambah baik dengan ciri menarik merangkumi pelbagai aspek. Misalnya seperti skrin lebih besar dengan kadar segar semula tinggi. Seterusnya kapasiti bateri dengan jangka hayat lebih panjang, di samping prestasi juga baik dalam kelasnya. Begitu juga dengan kebolehan tubuh peranti berubah warna turut menambah lagi bonus yang boleh dianggap sebagai keistimewaan tersendiri Kekurangan pula masih pada pembesar suara mono, tidak kalis air, tiada bicu audio serta ruangan mikroSD dan antara muka FunTouchOS yang masih berserabut. Bagi yang berminat, Vivo V25 Pro dijual di Malaysia pada harga RM2,499 dengan satu pilihan varian iaitu 12GB/256GB.


Pro

  • Rekaan selesa di dalam genggaman tangan.
  • Prestasi memuaskan dalam segmennya.
  • Kamera dengan OIS dan pelbagai pilihan fungsi.
  • Pengecasan berwayar 66W.

Kontra

  • Pembesar suara mono.
  • Tiada bicu audio & pelindungan kalis air.
  • Tiada slot kad mikroSD.
  • Aplikasi gendut terpasang & iklan berpanjangan.

komen


© Amanz / 2022 Kami