Set Kepala Apple Dijangka Dilengkapi Pengimbas Mata Untuk Pengesahan Akaun Dan Bayaran

Diterbitkan pada Okt 14, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple sedia diperkatakan bakal hadir dengan set kepala realiti-gabungan tersendiri seawal 2023 kelak. Selari dengannya, beberapa info berkenaan set kepala tersebut mula hadir ke arena web.

Terbaru, melalui The Information, kini dilaporkan set kepala Apple tersebut kelak akan turut menyertakan pengimbas mata terbina padanya – yang akan digunakan untuk pengesahan pembayaran, termasuk untuk log masuk ke akaun pengguna.

Pengimbasan mata ini dilihat sebagai langkah seterusnya selepas pengenalan Touch ID dan juga Face ID sebelum ini. Ia juga akan lebih mudah untuk pengesahan bayaran atau sebarang perkara dengan mengimbas mata ketika memakai set kepala tersebut.

Untuk tujuan tersebut juga, Apple dijangka akan menyertakan sebuah kamera khusus di dalamnya yang memantau pergerakkan mata pengguna. Secara keseluruhan, Apple dijangka menyertakan sekitar 14 kamera – yang turut akan digunakan untuk membolehkan pengguna menikmati pengalaman menyeluruh realiti-gabungan dan realiti-terimbuh.

Apple dijangka akan memperkenalkan set kepala mereka sekitar 2023 kelak dalam kuantiti terhad, sebelum memilih untuk memasarkan ia secara meluas. Langkah ini juga dijangka akan membolehkan para pembangun bersedia dengan penawaran masing-masing apabila ia dipasarkan meluas kelak.

komen


© Amanz / 2023 Kami