Salah satu ciri yang terdapat pada Facebook adalah sokongan Instant Articles, yang membolehkan para pengguna untuk membaca sesuatu pautan yang dikongsikan pada perkhidmatan sosial tersebut dengan pantas – tanpa perlu memuatkan sesuatu laman secara manual dan mengambil masa yang lama.
Ia diperkenalkan dalam memudahkan dan mempercepatkan sesuatu kandungan di akses oleh pengguna. Namun, kini ia dilihat Facebook akan menamatkan ciri tersebut.
Facebook kini akan menamatkan ciri tersebut dalam masa sekitar enam bulan lagi, iaitu menjelang April 2023 kelak.

Instant Articles sebelum ini telah diperkenalkan pada 2015 lepas, dan digunakan oleh pelbagai laman web, termasuk Amanz sendiri.
Dengan penamatan ini, sebarang perkongsian pautan akan membawa pengguna terus ke laman penerbit kandungan tersebut terus tanpa membuka Instant Articles lagi.
Facebook turut menyatakan yang pada masa kini, hanya sekitar 3% pengguna melihat perkongsian pautan pada Feed mereka. Dan ini membuatkan ia tidak berbaloi bagi mereka untuk terus melabur pada produk berkenaan – sekaligus membuatkan mereka memilih untuk menamatkannya.
- Sumber : Axios