Amazfit Falcon Dilancarkan Dengan Tubuh Titanium, Kaca Nilam Dan Bateri 30 Hari

Diterbitkan pada Okt 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jam tangan pintar tahan lasak ialah tema untuk tahun 2022. Kedua-dua Apple Watch Ultra dan Galaxy Watch5 Pro hadir dengan tubuh titanium, kaca nilam dan kemampuan tahan lasak yang tinggi. Amazfit yang sudah beberapa tahun melancarkan jam tangan tahan lasak T-Rex telah melancarkan pula Amazfit Falcon dengan rekaan yang lebih premium.

Tubuh Falcon diperbuat daripada titanium dengan kaca pula dari nilam yang amat tahan lasak. Empat butang kawalan pada sisi tubuh juga diperbuat daripada titanium sementara tali pula dari bahan silikon cecair.

Skrin 1.28″ AMOLED yang digunakan boleh mencapai keterangan 1000 nits. Bateri 500 mAh pula membolehkan ia beroperasi sehingga 14 hari dalam mod jam tangan pintar atau 30 hari dalam mod penjimatan kuasa. Menerusi GPS dwi jalur, kedudukan pengguna dapat dijejak dengan lebih tepat ketika melakukan aktiviti di luar.

Jam melepasi 15 ujian piawaian ketenteraan seperti berfungsi pada suhu -40 darjah Celsius, tahan panas sehingga 70 darjah Celsius dan boleh dibawa menyelam sehingga 200 meter. Seperti T-Rex, Falcon mempunyai kemampuan menjejak nadi, tidur, ratusan aktiviti sukan, kuasa tubuh, oksigen dalam darah dan banyak lagi. Amazfit Falcon dijual pada harga $499.99 (~RM2351) sebuah.

komen


© Amanz / 2022 Kami