Ulasan Samsung Galaxy Buds2 Pro – TWS Terbaik Untuk Ekosistem Samsung

Diterbitkan pada Okt 17, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung berusaha keras untuk menawarkan aksesori audio yang mampu memberikan persaingan kepada AirPods tetapi pada harga yang lebih mampu milik. Pembelian firma Harman pada tahun 2017 adalah langkah mereka untuk menawarkan aksesori audio yang berkualiti tinggi dengan prodk mereka menerima talaan bunyi dari AKG.

Tahun demi tahun percubaan mereka untuk menyaingi Jabra, Apple, dan Sony semakin membuahkan hasil dengan Buds2 yang dilancarkan awal tahun ini memberikan kombinasi rekaan yang menarik, bunyi yang mantap dan pemakaian lebih selesa. Menerusi Samsung Galaxy Buds2 Pro, Samsung mengitar semula rekaan Buds2 dan memperbaiki beberapa kekurangan Buds Pro.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Buds2 Pro
JenisTWS dalam telinga
Pemanduempat pemandu
Mikrofon6 mikrofon
Bateri5 Jam/ 18 jam dengan pod dengan ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarYa/Qi
CODECSSC (Samsung Seamless Codec) HiFi,AAC,SBC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa/Bixby
Pad sesentuhYa 2X
Kemampuan kalis airIPX7
Bluetooth5.3
Audio OfflineTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM 899

Buds2 ialah antara TWS kegemaran kami pada penghujung 2021 kerana ia lebih kecil, selesa dipakai di telinga dan mempunyai kemampuan audio yang baik walaupun diklasifikasikan sebagai fon telinga kelas pertengahan. Kerana sambutan yang baik ke atas Buds2, tidak mengejutkan Samsung mengambil beberapa rekaan daripada Buds2 tetapi dengan beberapa penambahbaikan berdasarkan maklum balas pengguna.

Saiz Buds2 Pro adalah lebih besar dengan permukaan luaran yang bulat. Saiznya sama dengan Buds Pro tetapi tanpa rekaan dwi-tona dan cangkerang luar pad sesentuh yang lebih aerodinamik. Kemasan metalik Buds Pro dibersarakan dengan ia digantikan dengan permukaan dengan warna yang kini sekata. Buds2 Pro tampak lebih kemas dan kacak. Jika kami katakan Buds2 seakan kepala botak Zidane, Buds2 Pro pula seakan kepala The Rock. Lebih besar tetapi lebih licin.

Ia juga kini mempunyai tekstur bergetah yang lebih kasar yang membuatkannya lebih melekat pada jari ketika dipegang. Isu Buds2 yang terlalu licin sehingga mudah terjatuh diselesaikan oleh tekstur yang lebih kasar ini. Sepanjang tempoh ulasan tidak sekalipun putik audio Buds2 Pro terjatuh dari jari kami ketika dipegang.

Proses mengorek putik audio juga lebih mudah pada Buds2 Pro juga lebih mudah kerana tekstur kasar yang digunakan. Amatlah berguna lebih-lebih lagi jika tangan berpeluh selepas bersenam dengan telinga serta jari yang berpeluh.

Putik audio yang kecil membuatkannya tidak begitu ketara di telinga apabila sedang dipakai. Profil rendah juga membuatkannya selesa dipakai ketika berbaring. Sebagai insan yang gemar mendengar podsiar sebelum tidur keselesaan ini adalah penting. Ia adalah sebab mengapa kami kurang menggemari TWS dengan tangkai panjang pada sisi.

Bercakap mengenai putik audio, ia adalah dari jenis dalam telinga (in-ear) dengan pilihan 3 putik silikon bagi memastikan ia kedap dalam lubang telinga. Secara lalai putik silikon bersaiz sederhana (Medium) dipasang. Dua pasang putik silikon tambahan adalah bersaiz lebih kecil (Small) dan satu lagi lebih besar (Large)

Kekedapan adalah penting bagi memastikan tiada ketirisan audio dari luar yang membuatkan ANC tidak berfungsi pada tahap optimum. Kekedapan putik telinga pada telinga boleh diuji menggunakan cir Fit Test dalam aplikasi Galaxy Wearable.

Dua pad sesentuh diletakkan sisi tubuh putik audio untuk melakukan kawalan media. Kesemua gestur asas yang disokong pada Buds terdahulu masih disertakan. Yang tiada ialah ciri menjeda muzik apabila putik telinga ditanggalkan dari telinga. Ini mungkin kerana Samsung menyertakan ciri Voice Detect yang mengurangkan tahap audio secara automatik apabila mengesan pengguna sedang bercakap.

Pod pengecas berbentuk kiub dengan sisi dibulatkan. Ia sama seperti pod pengecas Buds Live, Buds2 dan Buds Pro sebelum ini. Kami suka dengan rekaan pod simpanan/pengecas ini yang kecil. Apabila disimpan di dalam kocek seluar ia tidak mencucuk paha. Kerana ia kecil, kadang kala kami terlupa Buds2 Pro disimpan di dalam kocek.

Ia menyokong pengecasan berwayar dengan kepala USB-C dan pengecasan Qi. Bagi pemilik peranti Samsung, pengecasan PowerShare turut boleh digunakan apabila pod diletakkan pada bahagian belakang peranti. Dua lampu LED – satu di luar dan satu di dalam – menunjukkan tahap bateri dan juga mod tambatan sedang diaktifkan ataupun tidak.

Pod tidak kalis air tetapi putik audio melepasi piawaian IPX7 yang membolehkannya dibawa bersenam asalnya tidak dibawa berenang.

Penggunaan

Proses menambat adalah mudah pada peranti Samsung. Buka penutup dan peranti akan mengesan kewujudan Buds 2 Pro dengan grafik terpapar pada skrin bertanya sama ada pengguna ingin menambatnya pada peranti. Usai proses tambatan, aplikasi Galaxy Wearable boleh dibuka untuk mengubah tetapan ANC, Ambient Mode, pad sesentuh dan equaliser. Tetapan ANC dan Ambient Mode juga boleh ditukar menerusi skrin bluetooth peranti Samsung.

Pada peranti Android tiada ciri Fast Pair yang sedikit mengecewakan. Tambahan perlu menjalani proses manual dengan membuka tetapan bluetooth pada peranti. Aplikasi Galaxy Wearable perlu dimuat turun dari Play Store jika pemilik ingin mengubah tetapan Buds2 Pro atau melakukan kemas kini perisian.

Pada iOS, iPadOS, HarmonyOS, Windows dan macOS proses melakukan tambatan sama seperti pada peranti Android bukan jenama Samsung. Tiada aplikasi Galaxy Wearable ditawarkan pada sistem-sistem operasi ini. Anda tidak boleh mengubah tetapan Buds2 Pro dan melakukan kemas kini perisian. Di luar ekosistem Samsung/Android, beberapa ciri Buds2 Pro tidak boleh digunakan.

Pad sesentuh pada Buds2 Pro kami rasakan tidak sebaik pada Buds2. Seperti ada sela masa setengah saat sebelum sentuhan dikesan dan muzik dijeda misalnya. Kadang kala kami ingatkan jari gagal dikesan dan menyentuh pad untuk kali kedua. Akibatnya muzik dijeda kemudian dimainkan semula.

Adakah aneh sela masa ini wujud kerana kami tidak pernah mengalaminya pada Buds2, dan Buds Pro. Mungkinkah kemasan kasar bergetah pada pad sesentuh Buds2 Pro mengakibatkan sela masa ini? Pasca pelancaran, Buds2 Pro dikemaskini dua kali tetapi isu ini masih tidak diselesaikan.

Menerusi aplikasi Samsung Wearable beberapa ciri lain boleh diakses seperti menjejak lokasi Buds2 Pro yang hilang, mengubah tetapan pad sesentuh, melakukan ujian Fit Test dan Labs yang menguji ciri ujian seperti menyentuh sisi Buds2 Pro untuk mengubah tahap kelantangan audio. Oleh sebab inilah tiadanya sokongan aplikasi pada iOS mengurangkan ciri yang boleh digunakan pada iPhone misalnya.

Kualiti Audio dan Mikrofon

Buds2 Pro menawarkan pengalaman audio terbaik pernah ditawarkan dalam siri Buds setakat ini. Perkara pertama yang disedari ialah pentas audio yang kini semakin lebar. Antara isu awal siri Buds ialah pentas yang rasa terlalu kecil. Muzik yang didengari tidak boleh bernafas dan seakan didengari dalam bilik yang kecil.

Bass kuat dan berdentum walaupun dalam profil lalai equaliser. Ini boleh ditingkatkan jika profil Bass Boost dipilih. Treble juga jelas dengan ia pasti akan memuaskan peminat audio akustik atau instrumental. Mod Audio 360 menerusi Dolby Atmos yang diberikan juga menarik walaupun terasa seakan gimik. Sama seperti Spatial Audio Apple Music, ini ciri yang seronok dicuba tetapi tidak begitu penting kepada kami.

Terdapat sokongan audio 24-bit secara terbina dan pada peranti Samsung sahaja setakat ini. Tetapi ikhlas kami katakan telinga kami yang sudah agak berusia ini tidak begitu dapat membezakan perbezaan 24-bit dengan audio kualiti tertinggi Spotify dan Apple Music. Faktor usia membuatkan kami tidak dapat mendengar kesemua frekuensi audio. Maka ciri ini terbazir pada mereka yang lebih berusia. Kami sebaliknya berharap di iterasi Buds yang seterusnya Samsung boleh membawakan sokongan rasmi LDAC kerana lebih mudah mengakses/menstrim audio berbanding audio 24-bit yang masih niche.

ANC mampu menghapuskan bunyi kitar, motor elektrik pendingin hawa, suara rakan sepejabat bercakap dan muzik yang dimainkan di pejabat. Tahap kekuatan ANC tidak boleh diubah seperti pada Buds Pro. Kami tidak tahu mengapa ciri yang agak berguna ini tidak lagi diteruskan. Perkara yang sama berlaku pada Transperency Mode yang juga tidak boleh diubah.

Mod tembus ini menguatkan audio sekeliling yang membolehkan pengguna Buds2 Pro mempunyai pendengaran seperti Superman. Tetapi jika sekeliling bising, kebisingan ini akan turut digandakan. Bagi menjadi kesihatan gegendang telinga, kami aktifkan sahaja Voice Detect dengan ia terus menurunkan tahap audio muzik yang sedang didengari untuk beberapa saat apabila mengesan kami sedang bercakap. Ia berguna apabila ingin berbual dengan rakan sepejabat. Kami katakan di beberapa perenggan di atas Buds2 Pro sedikit sukar dikorek keluar dari telinga maka mod tembus Voice Detect menyelamatkan keadaan.

Kami masih merasa selesa memakai Buds2 Pro selama tiga jam. Lebih daripada tempoh ini telinga akan terasa seakan tersumbat. Saiz putik telinga silikon Buds2 Pro adalah lebih kecil berbanding Buds Pro tetapi ia masih memberikan perasaan seperti lubang telinga dikorek dengan jari kelingking. Dalam hal ini kami AirPods Pro mempunyai kelebihan kerana ia TWS yang tidak membuatkan kami terasa seperti lubang telinga sentiasa dicucuk.

Mikrofon ialah kekurangan paling ketara pada Buds2 Prop kerana apabila mod pembatalan hingar diaktifkan, perisian agak agresif cuba menghilang segala jenis hingar persekitaran. Akibatnya suara menjadi kurang jelas. Dalam situasi suasana yang lebih terkawal, kualiti mikrofon untuk melakukan sesi telesidang misalnya hanya sekadar sederhana sahaja.

Bateri

Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 18 jam dengan bantuan pod pengecas atau 5 jam dengan ANC diaktifkan. Dalam pengguna dunia sebenar ia sebenarnya lebih hampir ke 4.5 jam dan meningkat ke sekitar 15 jam dengan tetapan audio sekitar 75%.

Ini bukan hayat bateri yang cemerlang sekiranya anda ingin menggunakannya dalam penerbangan merentas benua. Apa yang kami lakukan di pejabat ialah memakainya dari pagi sehingga waktu makan tengah hari. Putik telinga dicas ketika kami makan. Hanya dengan cara ini Buds2 Pro boleh bertahan sepanjang hari penggunaan ketika waktu pejabat. Pengecasan semula mengambil masa sekitar satu jam walaupun bateri hanya sebesar 515 mAh pada pod dan 61 mAh pada putik audio.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Buds2 Pro menawarkan pengalaman audio yang mantap, pelbagai ciri tambahan yang amat diperlukan, selesa dipakai, ciri audio resolusi tinggi, dan rekaan yang selesa. Pada harga RM899 mungkin ada yang melihatnya sebagai TWS yang agak mahal dan kami tidak boleh menafikan hakikat ini.

Tetapi Samsung menawarkan kesemua ciri-ciri yang diperlukan peminat audio nirwayar dalam pakej yang cukup lengkap. Kami menyarankannya untuk pengguna Samsung kerana kesemua ciri-ciri menarik yang ditawarkan paling serasi digunakan dalam ekosistem Samsung. Sokongan audio 24-bit misalnya hanya disokong pada peranti mercu Samsung. Ia masih kami boleh sarankan kepada pengguna Android kerana lebih 90% boleh disokong pada sistem operasi ini. Pada sistem operasi lain seperti iOS ia sedikit mustahil kerana tiada sokongan aplikasi secara rasmi.

Pro

  • Rekan yang lebih kemas, selesa dan ergonomik berbanding Buds Pro sebelum ini.
  • Pengalaman audio yang memuaskan.
  • ANC berjaya menghalang audio bising dengan baik.
  • Tidak lagi licin dengan kemasan seakan getah lembut.
  • Sokongan audio resolusi tinggi pada peranti Samsung.
  • Aplikasi Galaxy Wearable menyertakan pelbagai ciri menarik.

Kontra

  • Tiada sokongan untuk iOS.
  • Permukaan bergetah ini mungkin tidak akan bertahan lama.
  • Lebih serasi dengan ekosistem Samsung.
  • Tiada ciri jeda muzik apabila putik telinga ditanggalkan.

komen


© Amanz / 2022 Kami