Horizon Worlds merupakan salah satu penawaran syarikat disebalik Facebook untuk arena metamesta. Ia telah diperkenalkan dalam bentuk beta terhad pada penghujung 2021.
Mengikut sasaran awal Meta, mereka menyasarkan sekitar 500,000 pengguna aktif bulanan untuk Horizon Worlds menjelang penghujung 2022 ini – tetapi, angka tersebut kini dilihat agak sukar dicapai.
Mengikut dokumen dalaman Meta, ia dilihat Horizon Worlds mempunyai angka pengguna kurang 200,000 setiap bulan. Dan mengikut sasaran yang dikemaskini, Meta menyasarkan sekitar 280,000 pengguna bulanan pada Horizon Worlds menjelang penghujung 2022 ini.
Beberapa perkara membawa kepada angka pengguna yang berkurangan – termasuk pengguna menyatakan tidak menyukai rekaan avatar, disamping kurang rakan-rakan untuk “lepak” bersama.
Apa pun, pada minggu lepas, Meta telah memperkenalkan beberapa kemaskini pada Horizon Worlds – yang mana mungkin menarik kembali pengguna ke platform metamesta tersebut.
Mark Zuckerberg juga dilihat masih aktif dan tidak berputus asa dalam pembangunan metamesta mereka ini.