Spatial Audio adalah pengalaman audio 3D yang imersif yang ditawarkan oleh Apple melalui produk-produk audio mereka seperti AirPods Pro atau AirPods Max. Ciri ini turut menyokong Dolby Atmos dan hanya boleh dinikmati melalui platform penstriman muzik mereka, Apple Music dan pada peranti terpilih sahaja seperti produk Apple sendiri.
Terkini, sokongan audio spatial telah dikembangkan ke inforia pula. Lebih menarik ia bukan produk Apple dan pertama kali ditawarkan kepada inforia Mercedes MBUX dan terhad untuk kereta Mercedes sahaja iaitu Mercedes‑Maybach S‑Class, EQS, EQS SUV, EQE, EQE SUV, atau S‑Class. Ciri ini ditawarkan kerana inforia MBUX menyokong audio imersif Dolby Atmos melalui Burmester 4D atau 3D yang hanya bernilai mencapai lebih RM70,000 di Malaysia jika anda ingin menambah sistem audio ini pada kereta Mercedes pilihan.
Untuk Burmester 4D, ia mempunyai 31 speaker termasuk 6 speaker 3D di atas dan 4 speaker berdekatan dengan telinga di kerusi hadapan serta 18.5 liter subwoofer. Ia turut mempunyai 8 pemindah-arus audio (2 pada setiap kerusi), 2 amplifier dan mempunyai kuasa 1750W.
Bukan itu sahaja, untuk pemilik Mercedes yang tidak melanggan Apple Music – Mercedes telah bekerjasama dengan Universal Music Group untuk hadir dengan muzik yang diiktiraf dengan label Approved in a Mercedes-Benz. Label ini hanya boleh diberikan kepada artis berdasarkan pengadun bunyi (sound mixing) di peringkat akhir sahaja.