Cari @ Amanz

Bagi memenggal keupayaan membangunkan industri cip kendiri mereka, Amerika Syarikat mengenakan sekatan teknologi ke atas China. Sebelum ini hanya penjualan perkakasan dan pelesenan teknologi cip sahaja dikenakan halangan dengan permohonan perlu mendapat kelulusan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat terlebih dahulu. Tetapi menerusi arahan terkini yang dikeluarkan ole Presiden Biden, rakyat Amerika Syarikat juga tidak dibenarkan untuk bekerja dengan syarikat cip China.

Ini akan mendatangkan impak yang besar kepada industri cip China memandangkan terdapat banyak kakitangan di peringkat tertinggi mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat. Mereka kini perlu memilih untuk berhenti bekerja di China atau memilih untuk menukar kerakyatan. Antara usaha yang dilakukan Beijing untuk mempertingkat kemampuan pembangunan cip kendiri ialah memanggil pulang rakyat Amerika Syarikat berbangsa cina yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Pentadbiran Biden yang pada awalnya diharap tidak meneruskan agenda perang perdagangan yang dimulakan oleh Donald Trump kini dilihat semakin agresif. Semakin banyak syarikat China dimasukkan ke dalam senarai entiti termasuk DJI baru-baru kerana teknologi dipercayai dikongsi dengan pihak Tentera Pembebasan Rakyat China. Beberapa minggu sebelumnya pengeksportan cip kecerdasan buatan ke China pula dihadkan yang melibatkan AMD dan NVIDIA.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd