Semasa acara Made by Google beberapa minggu lepas diadakan, Google telah memperlihatkan tablet baharu mereka iaitu Pixel Tablet. Tablet ini dilihat sebagai sebuah tablet asas untuk kegunaan di rumah, tetapi dijana dengan cip berkuasa mereka iaitu Tensor G2.
Keunikan pada tablet ini adalah, ia akan menyokong sambungan magnetik pada dermaga yang boleh mengubah menjadi sebuah skrin pintar seperti Nest Hub Max. Gurman terkini melaporkan yang Apple pada tahun 2023 nanti turut akan hadir dengan aksesori yang lebih kurang sama, di mana akan ada dermaga khas boleh digunakan bersama iPad untuk diubah menjadi skrin pintar tersendiri.
Peranti berhubung Apple sehingga hari ini hanyalah Apple HomePod, dengan dermaga ini mereka boleh bersaing dengan Pixel Tablet dan produk skrin pintar lain seperti Google Nest Hub atau dalam siri Amazon Echo. Sama seperti Google, produk Apple ini dikatakan boleh menjadikan iPad sebagai gajet untuk digunakan di dapur, ruang tamu atau meja di tempat tidur.
Jika produk ini dilancarkan, ia mungkin boleh menjadi hab kawalan Apple Home, Apple Music, menjawab panggilan FaceTime dan banyak lagi.