Cari @ Amanz

Di peringkat awal pengenalannya, set kepala realiti maya (VR) memerlukan sebuah PC yang berkuasa untuk menjalankan. Set kepala seperti HTC Vive dan Oculus Rift adalah dua yang paling terkemuka tetapi saya tidak mempunyai sebarang rakan yang memilikinya kerana harga jualan yang agak mahal. Set kepala kendiri seperti Oculus Quest (kemudian menjadi Meta Quest) menjadi pilihan lebih ramai pengguna kerana harga lebih mampu milik tanpa memerlukan sebuah PC yang berkuasa.

Saya juga secara peribadi menggunakan Meta Quest, di mana ia adalah set realiti maya kegemaran saya kerana ia mudah untuk dikendalikan, mempunyai banyak pilihan permainan dan aplikasi. Cuma ia tidak pernah dijual secara rasmi di Malaysia dengan set yang saya gunakan adalah hadiah dari Facebook semasa Amanz pergi ke acara di Amerika Syarikat beberapa tahun yang lalu.

Minggu lalu, Pico 4 rasmi dilancarkan di Malaysia sebagai set realiti maya mudah alih pertama mereka untuk pasaran tempatan. Saya sudah menggunakannya untuk beberapa minggu dan saya merasakan ia mungkin adalah alternatif terbaik untuk menggantikan Meta Quest generasi pertama yang digunakan selama ini. Tetapi adakah ia yang terbaik dan berbaloi untuk dimiliki semua orang?


Spesifikasi Dan Rekaan

Pico 4 adalah set kepala realiti maya yang cukup kompak tetapi berkuasa. Ia menggunakan dua skrin dengan resolusi 2160 x 2160 pixel setiap satu atau 4K+ secara keseluruhan. Ia menyokong kadar segar semula sehingga 90Hz yang dipadankan dengan lensa pancake yang memberikan sudut pandangan 105 darjah. Keunikan Pico 4 ini adalah ia menyokong mod tembus (pass through) berwarna berbanding pesaing seperti Oculus Quest yang hanya memaparkan paparan monokrom. Semasa set diterima ia satu-satunya set kepala VR yang menyokong mod ini tetapi kini turut disokong pada Meta Quest Pro.

Untuk penjejakan ia dilengkapi 6 sensor DoF, terdapat speaker terbina, dua mikrofon, dijana dengan cip Snapdragon XR2, memori 8GB RAM dengan storan dalaman sehingga 256GB. Bateri adalah 5300mAh dengan pengecasan 20W dan menjalankan sistem operasi Pico OS 5.0.

Pico 4 menggunakan rekaan yang amat mirip dengan set kepala OASIS dalam filem Ready Player One. Ia nampak lebih kurang sama dengan tubuh warna putih dan plastik hitam di hadapan menyembunyikan kamera dan sensor. Kelebihan Pico 4 iala ia ringan dan seimbang, di mana berbeza dengan Meta Quest yang berat di hadapan. Ini membuatkan penggunaan jangka masa panjang yang lebih selesa serta tidak memenatkan.

Speaker juga berdekatan dengan telinga, di mana di berada di bahagian cekak kepala begitu juga dengan butang kawalan aras suara. Bercakap mengenai butang, butang kedua adalah butang kuasa berada di sisi set kepala ini. Pada bahagian belakang kepala terdapat roda yang digunakan untuk mengetatkan/melonggarkan cengkaman set kepala ke tengkorak. Ia adalah sistem yang sama seperti yang digunakan pada PSVR. Untuk mengubah jarak lensa pula adalah melalui perisian dan tiada suis fizikal.

Di sekeliling tubuh terdapat sensor-sensor yang disertakan, termasuk dengan port USB-C untuk pengecasan yang mana turut boleh menyokong sambungan audio atau pemacu USB untuk pemindahan fail. Tetapi ia tidak boleh digunakan untuk sambungan ke komputer untuk menggunakan dalam mod realiti maya berwayar, kerana Pico 4 menyokong Steam VR secara nirwayar sahaja.

Pengalaman Penggunaan

Skrin adalah cukup terang dan cantik dengan dunia 3D seolah dalam peranti Android. Ini adalah kerana Pico OS 5.0 dibina berasaskan Android. Paparan juga cukup jelas dan selepas penggunaan sekitar lebih satu jam, ia tidak menyebabkan rasa loya atau pening kepala yang melampau. Kerana skrin yang beresolusi tinggi, saya tidak menyedari sebarang kesan screendoor yang dapat dilihat pada PSVR dan set kepala generasi awal.

Seperti yang saya katakan tadi Pico 4 seimbang di kepala tetapi saya memerlukan sekitar dua jam sebelum boleh membiasakan diri memakainya untuk tempoh masa yang lama. Pelindung bahagian mata juga selesa dengan bahan diperbuat daripada span yang lembut. Bahagian span ini cukup lembut dan saya serta beberapa rakan sepejabat yang berkaca mata boleh menggunakan Pico 4 tanpa sebarang isu tanpa kaca mata ditanggalkan.

Kekurangan yang saya sedari adalah jika anda berkaca mata, akan ada sedikit lubang di bahagian bawah yang menyebabkan cahaya memasuki bahagian ruang paparan visual. Ia masih berlaku walaupun selepas saya memasang penyesuai kaca mata yang diberikan. Tetapi ini ialah isu yang saya hadapi pada Quest, VR dan Galaxy Gear VR sebelum ini. Alah bisa tegal biasa maka mata saya sudah dibiasakan untuk tidak mengendahkan cahaya yang menceroboh.

Play Boundary

Sebelum Pico 4 boleh digunakan, ruang permainan yang diberi nama Play Boundary perlu ditetapkan terlebih dahulu. Sempadan ruang permainan perlu ditetapkan supaya pengguna yangs sedang khusyuk dalam dunia VR tidak terlanggar objek fizikal di dunia sebenar. Saiz Play Boundary adalah sekitar 36 kaki persegi secara lalai dengan ia berbentuk empat segi sama. Terdapat pilihan kedua yang membolehkan pemakai menetapkan sendiri saiz serta bentuk Play Boundary.

Ciri ini sama seperti pada Meta Quest dan saya tidak mempunyai masalah “melukis” sendiri saiz Play Boundary peribadi. Semasa melakukan tetapan Play Boundary ini, mod tembus akan diaktifkan secara automatik. Kerana mod tembus berwarna proses menetapkan ruang adalah amat mudah.

Dengan mod tembus berwarna pengguna melihat apa yang berlaku di sekeliling seperti ingin memastikan dalam proses bermain pengguna tidak berdekatan dengan benda bahaya seperti perabot dengan bucu tajam atau berdekatan dengan orang lain. Ia juga adalah sebagai langkah persediaan untuk menyokong mod realiti terimbuh, apabila Pico 4 menyokong mod peranti terimbuh (AR) di masa hadapan.

Perisian

Pico OS 5.0 adalah sistem operasi yang digunakan pada Pico 4. Semasa awal penggunaan ia terus membuatkan saya teringat pada Meta Quest, tetapi antaramuka yang digunakan oleh Pico ini adalah lebih ringkas dan mudah. Ia mesra pengguna dengan ciri dan fungsi penting jelas dipaparkan. Tidak banyak yang boleh saya lakukan pada Pico OS 5.0 berbanding Meta Quest, tetapi untuk kali pertama memasuki pasaran Malaysia dan cuba menarik perhatian pengguna kali pertama adalah sesuatu yang baik.

Sebagai eksperimen saya menyerahkan Pico 4 kepada rakan sepejabat dan mereka semua boleh menggunakan set kepala ini tanpa perlu membawa manual terlebih dahulu. Antaramukanya menggunakan ikonografi standard pada Android dan iOS yang mudah difahami.

Seperti Meta, Pico turut mempunyai avatar yang boleh diubah agar sesuai dengan personaliti atau citarasa pengguna. Dalam penggunaan saya, avatar ini hanya boleh diubah untuk paparan dalam Fitness iaitu aplikasi yang memantau aktiviti pengguna agar dapat menentukan tahap kecergasan seperti jumlah tapak atau kalori terbakar.

Keunikan lain yang saya temui adalah kemampuan ubah jarak lensa yang hanya menggunakan perisian dan bukan suis fizikal seperti pada HTC Vive. Kemudian Virtual Environment iaitu tema mengubah skrin utama seperti di dunia angkasa, dunia tenang dengan tumbuhan cukup menarik dan lebih luas dengan pelbagai ciri kustomasi. Pada waktu ini masih tiada sokongan menambah gambar atau video sendiri yang pastinya lebih menyeronokkan bagi menjadi membolehkan pengguna mempunyai ruang maya peribadi sebenar.

Remote Play Assistant, Pico Link dan SteamVR turut disokong. Remote Play Assistant adalah untuk menyiarkan kandungan video dari komputer terus ke Pico 4 untuk menjimatkan ruang storan pada set kepada yang hanya mempunyai storan 128GB atau 256GB. Saiz video VR atau saiz fail filem biasanya akan memakan storan sekitar 2-4 GB dan permainan dan aplikasi pula boleh mengambil ratusan GB.

Pico Link pula adalah perisian tambahan untuk menggunakan SteamVR. Tetapi ciri ini terhad dengan komputer yang dilengkapi GPU khas sahaja dan tidak boleh digunakan dengan GPU terbina seperti Iris Xe. Ciri ini membolehkan permainan realiti maya Steam pada komputer digunakan bersama Pico 4 secara nirwayar sepenuhnya.

Pico OS 5.0 turut mempunyai aplikasi Pico Video yang memainkan video 360 darjah. Dalam Pico Video turut ada TikTok terbina untuk menyaksikan video-video menegak secara lebih imersif dengan saiz skrin sekitar 100-inci di dalam dunia maya yang besar.

Masih tiada sokongan aplikasi penstriman video popular Netflix, Disney+ dan YouTube pada waktu ini tetapi kami difahamkan ia mungkin disokong di masa hadapan. Sokongan YouTube paling diperlukan pada waktu ini ia menawarkan banyak video 360 darjah untuk benar-benar menggunakan Pico 4 secara sepenuhnya.

Seperti Meta Quest, Pico turut ingin mempunyai perancangan menyokong dunia metamesta dengan avatar tersendiri mereka di masa akan datang nanti.

Prestasi

Sejak dari awal saya tidak meletakkan harapan tinggi Pico 4 mempunyai kemampuan seperti bermain pada konsol atau PC. Ini kerana saya sudah tahu yang set kepala realiti maya Pico 4 ini menggunakan Pico OS 5.0 yang dibina berasaskan Android, jadi kualiti grafik permainan adalah seperti pada peranti Android sahaja.

Dalam ujian yang saya lakukan, permainan kegemaran saya adalah After The Fall iaitu permainan tembak-menembak zombi yang dari segi grafik sekadar biasa-biasa sahaja tetapi dalam dunia realiti maya ia menjadi lebih menarik. Pengalaman bermain adalah lebih imersif kerana saya bergerak dalam dunia maya VR . Saya boleh simpan pistol di pinggang, pegang pistol dengan dua tangan, mengisi semula peluru seperti pistol sebenar dan banyak lagi. Permainan FPS yang biasanya hanya perlu menekan butang kini memerlukan tubuh bergerak sehingga saya berpeluh-peluh.

Proses menukar permainan dan kembali ke skrin utama juga pantas. Saya turut banyak bermain permainan sukan dalam All-In-One Sports VR: Global yang memberikan banyak pilihan sukan seperti bowling, badminton, tenis, memanah dan banyak lagi. Ia agak aneh kerana tidak begitu realistik, tetapi seperti After The Fall saya masih akan berpeluh dan kepenatan seperti saya bermain sukan yang sebenar.

Saya turut mencuba OhShape iaitu permainan seakan Beat Saber tetapi lebih dekat dengan konsep seperti Bolos Saja Dinding Itu yang dihoskan oleh Zizan pada satu masa dahulu. Ia ada tema muzik dan perlu boloskan diri ke dinding mengikut posisi yang disediakan serta perlu elak dinding lain.

Permainan yang bagi saya menarik dan membuatkan saya main sehingga habis bateri Pico 4 adalah In Death: Unchained yang sangat unik dengan menggunakan panah sebagai senjata utama setakat peringkat awal permainan. Dunia dalam permainan ini agak menarik, cuma penggunaannya lebih kepada alat kawalan dan tidak melibatkan banyak pergerakan badan untuk memberikan pengalaman yang imersif.

Grafik yang tidak begitu cantik ini mungkin hanya pada peringkat awal, kerana ia adalah set kepada realiti maya mudah alih dan kemampuannya amat terhad. Jika ingin grafik yang realistik mungkin perlu menggunakan komputer atau konsol dengan wayar dan permainan yang dibina khusus untuk platform tertentu. Saya pernah cuba menggunakan PlayStation VR pada PlayStation 4 untuk bermain Resident Evil 7. Itu memang syok dan memuaskan serta rasa seram, tetapi ia berwayar dan pergerakan juga terhad.

Alat Kawalan

Walaupun saya sudah bertahun menggunakan Meta Quest generasi pertama, saya masih rasa janggal menggunakan alat kawalannya apabila pergi ke tetapan atau dalam permainan. Untuk Pico 4, saya hanya memerlukan dua hari sahaja untuk menghafal lokasi setiap butang pada alat kawalan yang diberikan.

Alat kawalan tidak dinafikan mirip dengan Meta Quest, tetapi dengan gelung untuk melindungi tangan daripada terlanggar dengan dinding, bucu meja dan sebagainya. Setiap alat kawalan mempunyai satu kayu analog, dua butang muka, satu butang picu hadapan, satu butang picu sisi dan dua lagi butang sistem untuk tangkapan layar serta kembali ke menu. Dua tali lanyard terletak di bahagian bawah untuk mengelakkan ia terbang daripada ketika digunakan.

Seperti set kepala, alat kawalan dan butang-butang diperbuat daripada plastik berwarna kelabu. Setiap butang juga selesa ditekan dan paling menarik pada saya adalah panel bateri yang cool untuk dikeluarkan dan akan bergetar apabila dimasukkan. Dalam pengalaman saya menggunakan pelbagai set realiti maya, Pico 4 mempunyai kawalan yang terbaik dan paling selesa saya pernah uji.

Setiap alat kawalan juga menggunakan dua bateri sebesar AA untuk berfungsi. Dalam dua minggu penggunaan, setiap alat kawalan masih mempunyai bateri yang hampir penuh. Pada Meta Quest saya perlu gantikan dengan bateri AA selepas hanya seminggu penggunaan.

Bateri

Pico 4 menggunakan bateri berkapasiti 5300mAh dan menyokong pengecasan 20W. Ketahanan bateri pada set kepala adalah sekitar 2-3 jam. Ini setanding dengan konsol mudah alih Nintendo Switch. Ini adalah untuk bermain pelbagai permainan untuk dua ke tiga sesi, menerokai keseluruhan sistem operasi dan memainkan beberapa video.

Pada pendapat saya hayat bateri memadai kerana saya akan pening kepala jika terlampau lama. Tetapi saya tidak rasa loya, cuma mata menjadi kurang selesa dan hanya ingin berehat. Tempoh pengecasan semula bateri pula ialah sekitar dua jam yang mana turut tidak menjadi masalah kerana ketika ia sedang dicas adalah masa untuk berehat sebelum kembali bermain.

Aksesori

Dengan setiap pembelian, sebuah set kepala Pico 4, sepasang alat kawalan, pengecas dan kabel USB-C, pelindung mata dengan span, pelindung hidung dan pelindung cermin mata diberikan dalam kotak.

Semasa sidang media Pico 4, wakil Pico Malaysia mengesahkan yang Pico akan menjual pelbagai aksesori di masa hadapan seperti pelekat untuk panel hadapan agar boleh disesuaikan dengan tema seperti watak-watak robot atau yang digemari pengguna. Bukan itu sahaja, pelindung mata Pico 4 turut akan dijual sebagai ganti jika sudah kepam, kotor atau berbau busuk kerana peluh.

Pico turut akan hadir dengan Pico Motion Tracker untuk digunakan pada kaki, di mana ia mempunyai 3 sensor DoF pada setiap satu untuk menjadikan pergerakan dalam dunia maya lebih realistik sebagai persediaan dalam metamesta nanti.

Kesimpulan

Pico 4 ialah set kepala VR cukup selesa, ringan, mempunyai prestasi tinggi dan memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan untuk jenama yang kali pertama memasuki pasaran Malaysia. Paling saya gemari adalah kemampuan mod tembus berwarna yang belum pernah ditawarkan pada set kepala VR kendiri.

Yang mengecewakan pula ialah pilihan aplikasi dan permainan yang masih terhad. Harga kebanyakan permainan juga akan mahal antara RM90 dan RM100. Ia juga tidak menyokong aplikasi popular Netflix dan YouTube yang ada pada peranti pesaing seperti Quest.

Saya berpuas hati dengan Pico 4 dan tidak sabar untuk melihat apa yang akan ditawarkan di masa hadapan. Bagi mereka yang sudah lama inginkan set kepala VR kendiri, Pico 4 alternatif yang menarik kerana mempunyai sokongan rasmi dari pengeluar tidak seperti set kepala yang lain. Di Malaysia ia boleh dibeli pada harga bermula RM1699 untuk satu set lengkap.

Pro

  • Ringan dan seimbang, memberikan keselesaan berpanjangan.
  • Prestasi yang pantas dan lancar.
  • Antaramuka mesra pengguna mudah difahami.
  • Alat kawalan yang mudah digunakan.
  • Skrin yang cantik dan terang.
  • Audio yang memuaskan.

Kontra

  • Pilihan aplikasi dan permainan yang terhad.
  • Bateri hanya sehingga 3 jam dengan pengecasan yang perlahan.
  • Pelindung mata span yang mudah kotor.
  • Masih tiada alat ganti dan aksesori dijual.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd