Razer kini hadir dengan set fon telinga nirwayar baharu yang direka untuk PlayStation dan Xbox iaitu Razer Hammerhead HyperSpeed. Dari segi rekaan, ia dilengkapi fon dari jenis dalam telinga seumpama Razer Hammerhead True Wireless Pro sebelum ini dengan dua variasi model yang berbeza untuk setiap konsol.


Di mana, Razer Hammerhead HyperSpeed Gaming Earbuds untuk Xbox lengkap dengan dengan fon telinga serta pod pengecasan yang bewarna hitam dan hijau. Sementara itu, versi Playstation pula menampilkan kemasan serba putih dan hitam. Bagaimanapun, kedua-dua variasi dilihat mempunyai sokongan pencahayaan Chroma RGB yang sinonim dengan produk Razer pada sisi fon telinga.


Seterusnya, dua mikrofon yang lengkap dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC) terbina turut disertakan. Bersama-sama dengannya, ia juga dilengkapi penyesuai USB-C HyperSpeed yang menjanjikan audio latensi rendah dan jangka hayat bateri sehingga 30 jam. Di samping, turut boleh disambungkan ke peranti melalui sokongan wayarles 2.4GHz (menggunakan penyesuai yang disertakan) atau Bluetooth 5.2.

Kedua-dua model Razer Hammerhead HyperSpeed akan tersedia pada bulan November kelak dengan harga jualan RM749 di Malaysia.