Samsung sebelum ini hadir dengan model Galaxy M53 yang boleh dikatakan sebagai sebuah Galaxy A73 lebih mampu milik. Ia menggunakan cip MediaTek Dimensity 900, skrin 120Hz, bateri 5000mAh, kamera utama 108MP dan ditawarkan di Malaysia pada harga RM1999 sebuah.
Kini, terdapat desas-desus bahawa spesifikasi utama dan latar masa pelancaran untuk Galaxy M54 5G pula tertiris ke arena web. Model pembaharuan ini kelak mungkin disertakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 888, di samping dikhabarkan tiba menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.
Seterusnya panel AMOLED bersaiz 6.67-inci FHD+ dan kadar segar semula 90Hz turut disertakan. Kesemua ini akan dimuatkan pada sejenis skrin dengan rekaan berlubang di tengah untuk peletakan kamera swafoto tunggal 32MP. Kamera utama pula 64MP yang kemudiannya diikuti dengan sensor ultra-lebar 8MP dan makro 5MP.
Namun, masih tidak dapat dipastikan, sama ada terdapatnya sistem OIS terbina atau sebaliknya. Lain-lain spesifikasi yang turut disokong termasuklah gabungan memori 8GB RAM, pilihan storan dalaman 128GB/256GB dan bateri sebesar 6,000mAh yang turut menyokong sistem pengecasan 25W.