Lenovo ialah syarikat pertama yang menawarkan komputer riba dengan skrin boleh-lipat menerusi ThinkPad X1 Fold. Satu kekurangan rekaan ini ialah ia memerlukan aksesori papan kekunci fizikal bagi mereka yang masih belum selesa dengan papan kekunci atas skrin. Di acara Lenovo Tech World 2022 yang sedang berlangsung sekarang, Lenovo memperlihatkan rekaan komputer riba dengan skrin bergulung pertama dunia.

Menerusi rekaan ini, skrin komputer riba akan menjadi lebih besar dengan ia bergerak ke atas apabila diperlukan. Mekanisme khas menggulungkan semula skrin ini ke saiz asal apabila tidak diperlukan.

Dalam acara yang sama rekaan telefon pintar skrin boleh-gulung mereka juga diperlihatkan buat pertama kali. Seperti komputer riba mereka, telefon ini membesar secara menegak dengan bahagian atas skrin naik ke atas untuk mendapatkan skrin yang lebar. Dalam posisi bergulung, saiz peranti adalah kompak dan kecil.
Ketika artikel ini ditulis, Lenovo belum berkongsi maklumat mengenai spesifikasi, atau sama ada prototaip-prototaip ini akan ditawarkan kepada umum.