Garmin yang merupakan pengeluar peranti boleh-pakai kini memperluaskan portfolionya dengan beberapa produk gaya hidup lain. Jika sebelum ini mereka berkolaborasi dengan Jovian untuk penawaran pelitup muka. Terbaru, Garmin hadir dengan kerangka telefon pintar yang bertemakan gaya hidup dan kecergasan pula.
Melaluinya Garmin telah bekerjasama dengan salah satu jenama aksesori tempatan iaitu Loucase untuk penghasilannya. Untuk kolaborasi kali ini, keseluruhan koleksi adalah berdasarkan ciri dan fungsi yang diinspirasikan daripada jam tangan baharu Garmin Venu Sq 2. Setiap satu daripadanya diketengahkan dengan menarik pada koleksi kerangka telefon pintar ini.
Sebanyak 7 jenis rekaan yang sarat dengan imej gaya hidup dan kecergasan ditampilkan. Apa yang istimewa, koleksi ini turut menampilkan kerangka yang tahan lasak untuk pelindungan lebih baik. Kolaborasi menarik ini turut memperlihatkan terdapatnya penjenamaan bersama Garmin dan Loucase pada setiap koleksi kerangka telefon pintar.
Buat masa ini, ia hanya ditawarkan untuk peranti iPhone sahaja. Bagi yang berminat, kerangka boleh dipesan menerusi laman rasmi Loucase dengan harga jualan bermula RM49 untuk variasi biasa dan RM99 untuk kerangka tahan lasak. Sebagai tambahan, Garmin dan Laucase turut menawarkan koleksi Phone Grips yang ditawarkan pada RM39.