Empat Monitor LG UltraGear Untuk Gaming Dilancarkan Di Malaysia – Harga Bermula RM725

Diterbitkan pada Okt 19, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Empat monitor gaming LG UltraGear telah dilancarkan di Malaysia hari ini dengan kesemuanya menyasarkan golongan gamer yang memerlukan sokongan kadar segar semula yang tinggi serta sistem AMD FreSync atau NVIDIA G-Sync.

Kita mulakan dengan LG UltraGear 48GQ900 yang dilengkapi skrin 48″ OLED 4K yang menyokong kadar segar semula sehingga 138Hz secara lewah jam. Sebagai sebuah monitor gaming ia menyokong NVIDIA G-SYNC dan AMD FreeSync Premium bagi mengelakkan isu grafik kelihatan terkoyak ketika sesi permainan video. Masa tindak balas adalah cukup rendah hanya 0.1 ms dan skrin turut menyokong piawaian HDR10.

Terdapat 2x HMDI 2.1, 1x DP 1.4, 3 USB 3.0, output optikal, dan bicu audio 3.5mm yang menyokong output audio Dolby DTS Headphone. Walaupun dilancarkan dengan tapak, monitor ini boleh disangkut ke dinding menerusi cagak VESA.

Seterusnya LG UltraGear 32GQ850 pula dilengkapi skrin 32″ Nano IPS QHD yang menyokong kadar segar semula sehingga 240Hz atau sehingga 260Hz secara lewah jam. Ia turut menyokong VESA AdaptiveSync, NVIDIA G-SYNC dan AMD FreeSync Premium bagi mengelakkan isu grafik kelihatan terkoyak ketika sesi permainan video. Masa tindak balas adalah 1 ms dan skrin turut menyokong piawaian VESA DisplayHDR 600.

Terdapat 2x HMDI 2.1, 1x DP 1.4, 3 USB 3.0, output optikal, dan bicu audio 3.5mm yang menyokong output audio Dolby DTS Headphone. Monitor mempunyai leher yang membolehkan ia didongakkan, dipusingkan ke sisi dan berubah orientasi menegak 90 darjah.

Berspesifikasi lebih rendah, LG UltraGear 27GQ50F pula dilengkapi skrin 27″ panel VA FHD yang menyokong kadar segar semula sehingga 165Hz sahaja. Ia sekadar menyokong AMD FreeSync Premium manakala masa tindak balas adalah 1 ms. Terdapat 2x HMDI 1.4, 1x DP 1.2, 3 USB 3.0, output optikal, dan bicu audio 3.5mm. Monitor mempunyai leher yang membolehkan ia didongak ke atas dan ke bawah. Akhir sekali LG UltraGear 24GQ50F pula sama seperti 27GQ50F cuma skrin lebih kecil 24″ juga dari keluarga panel VA.

Harga jualan untuk LG UltraGear 48GQ900 ialah RM5922, LG UltraGear 32GQ850 mpula ialah RM3150, LG UltraGear 27GQ50F pada harga RM935 dan LG UltraGear 24GQ50F pula ialah RM765.

komen


© Amanz / 2022 Kami