Malam tadi, Apple telah memperkenalkan Apple TV 4K generasi baharu yang dijana dengan cip pemprosesan Apple A15 Bionic iaitu cip yang sama pada iPhone 13 dan iPhone 14 (bukan Pro). Ia turut hadir dengan rekaan lebih ringan, kecil dan tanpa kipas serta menggunakan 30% kurang kuasa berbanding sebelum.
Ia turut menyokong paparan kandungan HDR10+ dan menyertakan Siri Remote baharu dengan USB-C. Sayang sekali Apple TV 4K kali ini tidak lagi menyertakan kabel pengecas untuk alat kawalan jauh Siri Remote seperti Apple TV 4K yang dilancarkan pada Mei tahun lepas yang menyertakan kabel Lightning untuk pengecasan.

Bagi mereka yang inginkan kabel USB-C jenama Apple, di Malaysia kedua-dua kabel USB-C dijual pada harga RM99 iaitu USB-C Charge Cable (2 m) dan USB-C Woven Charge Cable (1m). Apple turut tidak lagi menjual Apple TV HD, sebaliknya kedua-dua variasi adalah 4K dengan harga RM699 untuk versi WiFi atau RM799 untuk versi WiFi + Ethernet. Ini lebih murah berbanding sebelum ini dengan harga bermula RM849.