Adobe Express Menawarkan Ciri Seakan-Akan Canva

Diterbitkan pada Okt 19, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada acara Adobe MAX tahun ini, mereka telah membawakan tema mudah dan cepat untuk semua pencipta karya. Adobe Express adalah antara salah satu penawaran yang baru sahaja diperkenalkan. Di bawah platform ini, anda boleh menggunakan templat yang Adobe Express sediakan untuk pelbagai jenis kegunaan seperti untuk menghasilkan logo, risalah iklan, Instagram Story dan sebagainya.

Malah teknologi-teknologi suntingan daripada Adobe Photoshop dan Illustrator juga tersedia di dalam Adobe Express ini, seperti membuang latar belakang gambar, memotong video, menghasilkan GIF, dan semuanya dengan hanya satu klik sahaja. Fail suntingan dan mana-mana projek daripada Creative Cloud Libraries juga boleh beroperasi bersama-sama dan anda boleh mengakses fail-fail ini dengan mudah tanpa perlu membuka dan menutup Adobe Express.

Adobe Express kini sudah tersedia secara percuma untuk setahun pertama di aplikasi desktop dan juga pelayar web (web browser). Tetapi mereka juga menyediakan Adobe Express Premium yang mana didalamnya anda dapat mengakses templat-templat yang lebih profesional, dan mempunyai lebih 22,000 muka-taip (font) daripada Adobe Fonts, gambar-gambar bebas royalti daripada Adobe Stock, storan 100GB dan banyak lagi.

Pendek kata, penawarannya hampir serupa dengan apa yang kita boleh dapatkan melalui Canva. Cuma apa yang membuatkan Adobe Express ini lebih baik adalah ia boleh bekerja bersama-sama aplikasi suntingan lain daripada Creative Cloud Libraries.

komen


© Amanz / 2022 Kami