Peranti dengan skrin boleh-lipat kini menjadi semakin popular. Tetapi harga jualan masih dalam kategori premium dan belum boleh dibeli oleh majoriti pengguna. Selepas Samsung berjaya mempopularkan Galaxy Z Fold dan Galaxy Z Flip, pesaing seperti Oppo, Vivo, Xiaomi dan Huawei mula hadir dengan iterasi masing-masing.
Motorola pada tahun ini telah pun kembali hadir dengan peranti clamshell baharu mereka iaitu Razr 2022. Tetapi jualannya masih terhad di China dan akhirnya harga jualan sudah setanding dengan pesaing dan tidak terlampau tinggi. Peranti ini hadir dengan skrin dalam 6.7-inci FHD+ 144Hz HDR10+, skrin luar 2.7-inci 60Hz, dijana Snapdragon 8+ Gen 1, dan dijual pada harga bermula sekitar bawah RM4000.
Evan Blass baru-baru ini mendakwa yang tahun 2023 nanti, Razr akan hadir dengan dua peranti dengan skrin boleh-lipat baharu yang menggunakan kod nama Juno dan Venus. Tetapi tidak dijelaskan apakah model peranti ini dan adakah ia akan dipasarkan secara lebih meluas. Sama-sama kita nantikan informasi lanjut mengenai dua peranti ini.