Ramai orang ini menjadi terkenal sekarang. Kehidupan sebagai seorang selebriti media sosial kini menjadi kerjaya paling menguntungkan dan popular di kalangan anak-anak muda. Tetapi di sebalik glamour, terdapat sisi gelap kerana golongan ini akan menerima mesej cacian di ruangan komen serta DM.
Bagi membantu pengguna dengan akaun Creator mengelakkan isu buli siber yang semakin serius, Instagram mempertingkat beberapa ciri keselamatan yang pernah dilancarkan sebelum ini. Pertama sekali ialah ciri menghalang akaun dari pengguna tertentu secara pukal. Apabila satu akaun dihalang, Instagram akan menghalang akaun lain yang dikendalikan oleh individu yang sama. Dengan ini selepas mereka dihalang, mereka tidak boleh menghubungi pengguna menerusi akaun lain.
Kedua ciri Hidden Words akan diaktifkan secara automatik kepada pengguna yang mempunyai lebih 10,000 orang pengikut. Ciri ini pada asalnya diberikan dengan ia perlu diaktifkan sendiri oleh pengguna. Mereka kemudian memasukkan frasa yang ingin dihalang. Apabila mesej peribadi dihantar dan ia mengandungi perkataan yang dihalang, mesej tersebut akan dikaburkan. Masalah mesej DM yang berunsur carutan, ancaman atau makian akan dapat diselesaikan.
Hidden Words juga dikemaskini untuk menapis mesej yang mungkin berunsur penipuan dan “scam”. Sokongan perkataan yang ingin ditapis kini menyokong bahasa Farsi, Turki, Rusia, Bengali, Marathi, Telugu, dan Tamil.
Akhir sekali Instagram akan memberikan peringatan kepada pengguna supaya tidak meninggalkan komen yang mengandungi perkataan yang boleh menyakitkan hati. Peringatan diberikan kepada pengguna yang meninggalkan komen yang dikesan sebagai cacian.