Carian
Amerika Ingin Menyekat Eksport Teknologi Komputer Kuantum Dan Kecerdasan Buatan Ke China
October 21, 2022 Effi Saharudin

Satu demi satu halangan teknologi dilakukan oleh Amerika Syarikat bagi menghalang China dari membangunkan teknologi mereka tahun ini. Menurut laporan Bloomberg, pentadbiran Joe Biden dilaporkan dalam perancangan untuk menghalang pula China dari mengimport teknologi komputer kuantum dan perisian kecerdasan buatan dari Amerika Syarikat.

Perancangan masih lagi di peringkat awal menurut sumber yang tidak ingin dikenali. Kedua-dua teknologi ini masih di peringkat awal dan menghalangnya dari diakses oleh China adalah cara untuk membantutkan kemajuan yang dilakukan setakat ini. Hanya Amerika Syarikat dan China mempunyai komputer kuantum pada waktu ini.

Komputer kuantum Baidu Qian Shi yang diumumkan Ogos lalu dilengkapi cip 10 Quantum Bit (Qubit) berbanding Google Sycamore yang dilengkapi cip 56 Qubit yang diperlihatkan pada tahun 2019. Dengan kemampuan memproses yang tinggi, komputer kuantum boleh melakukan proses kecerdasan buatan (AI), latihan sistem swapandu, dan meramalkan cuaca dengan lebih pantas. Ia turut mempunyai fungsi yang berguna bagi tujuan ketenteraan seperti simulasi senjata nuklear.

Teknologi terkini dari Amerika Syarikat kini dihalang dari dieksport ke China kerana A.S berkata ia kemudiannya mungkin dikongsi dengan pihak tentera untuk membangunkan senjata yang boleh membahayakan keselamatan negara. AMD dan NVIDIA kini dihalang dari menjual cip AI kepada China. DJI pula dimasukkan ke dalam senarai entiti. Akses kepada mesin pencetak cip terknologi baharu juga telah dihalang tahun ini.

Komen