Carian
Meta Membangunkan Sistem Alih Bahasa Untuk Bahasa Tidak Bertulis Seperti Hokkien
October 25, 2022 Effi Saharudin

Ramai mungkin tidak menyedari terdapat 7000 bahasa yang masih digunakan sekarang tetapi 40% daripadanya adalah dalam bentuk oral semata-mata tanpa sistem bertulis. Oleh itu bahasa-bahasa ini perlu digunakan bagi mengelakkannya daripada pupus. Antara bahasa yang tidak mempunyai sistem bertulis rasmi ialah Hokkien. Kesemua sistem alih bahasa yang digunakan sekarang memerlukan sistem bertulis untuk berfungsi. Oleh sebab itu jika anda ingin mengalih bahasa Hokkien wujud masalah.

Peng-Jen Chen seorang penyelidik di Meta AI ingin menyelesaikan masalah ini kerana ingin membantu bapa beliau yang lebih fasih berbahasa Hokkien. Sepanjang hidup beliau di Taiwan, Chen menyedari bapa beliau sukar berinteraksi menggunakan bahasa Mandarin. Oleh itu kecerdasan buatan yang boleh menterjemah Hokkien dibangunkan beliau.

Sistem dilatih terlebih dahulu dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin sebagai perantara kepada Hokkien. Mandarin digunakan kerana ia mempunyai banyak persamaan dengan Hokkien. Proses alih bahasa dilalukan oleh pengguna bahasa Hokkien sepanjang proses bagi memastikan ketepatan. Kemudian kecerdasan buatan dilatih pula dengan menggunakan set data ini.

Selain Hokkien, Meta percaya kecerdasan buatan yang sama boleh dilatih menggunakan bahasa yang tidak mempunyai sistem bertulis yang lain. Ini adalah antara usaha Meta untuk menghasilkan Universal Speech Translator – penterjemah universal yang boleh mengalih kesemua bahasa dunia secara masa nyata.

Komen