iOS 16.1 Dan iPadOS 16 Kini Boleh Dimuat Turun

Diterbitkan pada Okt 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple mengumumkan pelbagai harga baharu untuk Apple One, Apple TV+ dan Apple Music lewat malam tadi. Pada waktu yang sama mereka turut memberikan kemas kini iOS 16.1 dan iPadOS 16 yang telah dijanjikan sebelum ini.

iOS 16.1 memberikan ciri iCloud Shared Photo Library yang dijanjikan sebelum ini. Menerusinya gambar yang diambil menggunakan kamera akan dikongsi terus kepada ahli keluarga secara automatik. Kamera turut boleh diarahkan untuk menyimpan gambar terus ke dalam folder khas untuk melakukan perkongsian.

Turut diberikan ialah kustomasi skrin kunci dan skrin utama peranti. Kedua-duanya boleh diubah secara berasingan dan tidak serentak seperti pada iOS 16 asal. Seterusnya perkongsian kunci kereta digital menerusi Apple Wallet turut diaktifkan. Protokol peranti internet benda Matter juga disertakan sekali bersama dengan Live Activities menerusi Dynamic Island.

Pada iPadOS 16 pula, ciri Stage Manager diberikan kepada beberapa model iPad Pro dan iPad Air terpilih. Ciri multi tugas yang lebih baik ini memerlukan saiz RAM yang besar oleh sebab itu tidak diberikan kepada model iPad asas. Selain Stage Manager, iPadOS 16 juga membawakan pelbagai ciri yang sama seperti iOS 16 sebelum ini.

Kemas kini iOS 16.1 adalah sebesar 1.47GB di Malaysia manakala iPadOS 16 pula sebesar 2.85GB dengan ia boleh dimuat turun secara OTA sekarang.

komen


© Amanz / 2022 Kami