Set Fon Telinga Aliran Tulang Xiaomi Bone Conduction Headphones Dilancarkan Di China

Diterbitkan pada Okt 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Set fon telinga aliran tulang bukan produk luar biasa, tetapi ia kurang popular kerana tidak memberikan kualiti audio yang cukup mantap seperti aksesori audio yang lebih tradisional. Di Malaysia antara jenama yang menawarkan aksesori audio seperti ini adalah Aftershokz.

Selain ia tidak begitu popular, harga jualan produk sebegini selalunya tinggi. Xiaomi di China nampaknya ingin cuba menawarkan produk dalam kategori ini pada harga yang boleh dikatakan agak mampu milik berbanding jenama lain melalui Xiaomi Bone Conduction Headphones.

Xiaomi Bone Conduction Headphones menggunakan teknologi yang mengeluarkan audio melalui getaran di mana apabila berdekatan dengan tulang pipi, pemakai boleh terus mendengar audio yang dihasilkan. Set fon telinga seperti ini turut dihasilkan agar pemakai boleh sentiasa menyedari perkara yang berlaku di sekeliling, bermakna tiada sokongan ANC atau mod tembus bunyi disertakan.

Xiaomi menggunakan sistem getaran track-type yang mendakwa kualiti audio adalah lebih baik dan turut boleh memastikan tiada masalah audio bocor dengan teknologi closed directional sound cavity 360 darjah. Xiaomi Bone Conduction Headphones menggunakan Bluetooth 5.2 dengan tambatan pantas, sela masa serendah 86ms, bateri sehingga 12 jam, pengecasan USB-C, dan hadir dengan perlindungan IP66.

Harga jualan adalah RMB699, iaitu sekitar RM456 dan terhad di pasaran China sahaja buat masa ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami