Tiga dekad yang lalu terdapat banyak artikel yang mengatakan permainan video memberikan impak negatif ke atas perkembangan kanak-kanak. Permainan video juga dipersalahkan apabila berlaku kejadian tembak menembak seperti di Columbine. Kesemua dakwaan adalah anekdot yang tidak bersandarkan kajian sains.
Kajian terkini yang disokong oleh Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat (NIH), permainan video didapati meningkatkan kemampuan kognitif kanak-kanak. Ia merupakan sebahagian daripada Adolescent Brain Cognitive DevelopmentĀ (ABCD) yang sedang dijalankan oleh NIH dengan data dikumpul daripada 2000 peserta.

Data menunjukkan kanak-kanak yang menghabiskan 3-4 jam sehari bermain permainan video mempunyai kemampuan kognitif yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang tidak bermain permainan video. Dalam ujian kognitif, mereka lebih pantas sementara imbasan MRI otak pula menunjukkan aktiviti yang lebih tinggi pada bahagian memori dan menumpukan perhatian.
Kajian seperti ini sekali lagi berjaya menghapuskan stigma negatif permainan video yang dimomokkan sejak tiga dekad yang lalu. Pada tahun 2017 kajian di Jerman mendapati remaja yang bermain permainan video ganas tidak menunjukkan pengurangan empati dan pengurangan sensitiviti pada keganasan.
- Sumber
- Sumber – NIH