Cari @ Amanz

Komputer Lenovo ThinkPad X1 Carbon edisi ulang tahun ThinkPad ke 30 sudah boleh dipratempah di Malaysia sekarang sehingga 30 November 2022 pada harga bermula RM13,359. Hanya 40 unit akan ditawarkan di Malaysia dengan 20 pelanggan pertama akan menerima beg komputer riba edisi khas dan tetikus ThinkPad X1 yang bernilai RM848.

ThinkPad X1 Carbon edisi khas ini hadir dengan logo klasik berwarna merah, hijau dan biru dengan nombor siri akan terukir pada tubuh. Puting getah untuk TrackPoint juga hadir dalam pilihan warna merah, hijau dan biru yang boleh ditukar sendiri oleh pengguna. Skrin 14″ LCD WQUXGA dengan sokongan sentuhan atau 2.8K OLED. Dipadankan dengan cip Intel Core Gen-12, memori sehingga 32GB LPDDR5, storan sehinga 4TB SSD PCIe NVMe Gen-4 dan bateri sebesar 57Wh.

Kamera FHD infra merah disertakan lengkap dengan sistem privasi ThinkShutter yang menutup lensa secara fizikal. Tahun ini kamera hadir dengan NPU tersendiri untuk memastikan kualiti video yang terbaik dapat dinikmati. Malahan boleh mengenali wajah pemilik yang memakai pelitup muka. Sistem juga akan mengurangkan keterangan skrin apabila mengesan pengguna tidak berada di hadapan untuk menjimatkan bateri.

Sistem audio pula menyokong Dolby Atmos lengkap dengan empat mikrofon yang mendengar suara secara 360 darjah. Pengimbas cap jari fizikal diletakkan pada butang kuasa. Pilihan I/O ialah 2X USB-C Thunderbolt 4, 2X USB-A 3.2, HDMI 2.0b, bicu audio dan kunci Kensington. Sambungan ke internet boleh dinikmati menerusi WiFi 6e dan juga 5G Subo-6 menerusi eSIM atau SIM nano. Ia melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD 810H. Kesemua ini di dalam tubuh hanya seberat 1.12 kg.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd