Rekaan Realme 10 4G Tertiris Dengan Dwi-Kamera Di Belakang

Diterbitkan pada Okt 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Realme 10 dijangka menjadi model pembaharuan untuk rangkaian peranti pintar daripada Realme. Mengulas lanjut, sejumlah informasi mengenainya telah tertiris menerusi beberapa sumber. Ia bukan sahaja menunjukkan reka bentuk, malahan juga turut mendedahkan perkakasan dalaman.

Telefon pintar ini dilihat hadir dengan panel belakang diperbuat daripada bahan yang berkilat. Melaluinya terdapat dua pilihan warna yang disediakan seperti merah jambu dan kelabu. Turut disertakan adalah sistem dwi-kamera yang disusun menegak dengan sokongan sensor utama 50MP. Kesemua ini dimuatkan dalam tubuh telefon pintar yang berkotak, tetapi tidak dapat dipastikan jenis panel hadapan yang digunakan. Butang kuasa dan laras audio turut kelihatan pada sisi kanan telefon pintar.

Menurut jangkaan awal, Realme 10 mungkin dilengkapi skrin AMOLED 6.4-inci dengan kadar segar semula 90Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Helio G99, memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB dan bateri 5000mAh. Tiada tarikh pelancaran rasmi yang diketahui, tetapi ia dijangka berlangsung sekitar bulan November ini bermula di China terlebih dahulu.

komen


© Amanz / 2022 Kami