Sony LinkBuds S Kini Ditawarkan Dalam Warna Earth Blue

Diterbitkan pada Okt 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sony kini hadir dengan kemaskini variasi warna baharu untuk set fon telinga nirwayar LinkBuds S. Melaluinya ia kini tersedia dalam warna Earth Blue sekaligus menyertai beberapa variasi warna terdahulu seperti White, Black dan Ercu yang diumumkan sekitar bulan Mei sebelum ini. Bagi yang berminat, ketersediaan Sony LinkBuds S Earth Blue di Malaysia bermula 14 November 2022.

Sebahagian besar tubuh Sony LinkBuds S Earth Blue diperbuat daripada bahan botol air kitar semula dengan sentuhan menarik yang menghasilkan tekstur seakan batu marmar. Ini termasuklah pada bahagian pod pengecas dan fon telinga itu sendiri. Pengenalan ini juga adalah selari dengan perancangan asal Sony untuk memperluaskan lagi potensi penggunaan bahan kitar semula pada rangkaian produknya.

Dalam masa sama turut menyokong pelan jangka masa panjang Sony iaitu Road to Zero yang bertujuan mengurangkan jejak karbon dalam memulihara alam sekitar menjelang tahun 2025. Malah turut difahamkan, ini bukanlah kali pertama Sony berbuat sedemikian sebaliknya siri LinkBuds sedia ada turut mengetengahkan pembuatan bahan bebas plastik.

Dalam perkembangan yang sama, Sony turut menyediakan kemas kini perisian baharu untuk kesemua model siri LinkBuds (tidak termasuk LinkBuds UC untuk Teams) yang membolehkan fungsi sambungan berbilang peranti secara serentak. Ketersediaannya adalah secara berperingkat bermula November 2022.

komen


© Amanz / 2022 Kami