Pemilik Kad Grafik RTX 4090 Mula Melaporkan Isu Kabel 12VHPWR Cair Akibat Penggunaan Kuasa Terlalu Tinggi

Diterbitkan pada Okt 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tidak lama sebelum kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 dilancarkan, terdapat beberapa laporan yang kurang menyenangkan keluar mengenai penggunaan kuasa kad grafik tersebut yang sangat tinggi, dan samada kabel baru yang diperkenalkan, iaitu 12VHPWR adalah mencukupi untuk menampung penggunaan kuasa ini.

Beberapa minggu selepas kad grafik tersebut dilancarkan, terdapat beberapa kes dimana kabel tersebut cair kerana isu aliran kuasa dan suhu tinggi di bahagian kepala kabel tersebut.

Kabel-kabel 12VHPWR ini dilaporkan hadir dengan kebolehan untuk menampung bekalan kuasa setinggi 450 ke 650W, tetapi mempunyai masalah-masalah mereka sendiri seperti had pasang-cabut yang rendah dan sebagainya.

Ia juga dilaporkan bahawa isu kepala kabel cair ini berkemungkinan besar juga disebabkan oleh kabel-kabel kuasa ini yang dibengkokkan terlalu rapat kepada kepala kabel.

Ini menyebabkan tapak sentuhan diantara kabel dan pin tidak begitu kemas, yang mengakibatkan aliran kuasa kepada kad grafik yang tidak sekata. Perkara ini menyebabkan haba terkumpul di sekitar kepala kabel dan menyebabkannya untuk cair.

Syarikat-syarikat seperti CableMod telah memberi amaran bahawa untuk kabel 12VHPWR ini, lingkaran 3.5cm sebelum kepala kabel tersebut tidak boleh dibengkok untuk memastikan bahawa bekalan kuasa dapat disampaikan kepada kad grafik tanpa sebarang masalah.

komen


© Amanz / 2022 Kami