Acara pelancaran produk baharu Xiaomi pada 27 Oktober ini tidak sekadar memperlihatkan penawaran untuk telefon pintar semata-mata. Malahan turut menyediakan kemaskini untuk sebilangan produk lain termasuklah komputer riba.
Melaluinya Xiaomi Book Air 13 bakal diperkenalkan sebagai sebuah komputer riba dengan tubuh yang ringan dan nipis. Dengan ketebalan kira-kira 12mm, ia dikatakan antara komputer riba ternipis pernah ditawarkan oleh Xiaomi setakat ini. Perkara ini boleh dilihat dengan jelas menerusi beberapa ciapan terkini di Weibo yang mendedahkan reka bentuk komputer riba ini.
Dalam pada itu, komputer riba juga telah tersenarai di laman JD.Com dengan sebilangan maklumat mengenai perkakasan dalamanya. Ia menunjukkan komputer riba ini akan mempunyai skrin sesentuh sejenis OLED 13-inci beresolusi 2880 X 1800 dan nisbah aspek 16:10.
Selain itu, ia juga ditawarkan dalam beberapa pilihan CPU yang merangkumi cip Intel Core i5 dan i7 generasi ke-12 bersama GPU Intel Iris XE. Turut disertakan adalah memori 16GB RAM LPDDR5, storan dalaman 512GB terbina, bateri yang menyokong sistem pengecasan 65W dan dua port Thunderbolt.