Cari @ Amanz

Rangkaian komputer riba Xiaomi turut dikemaskini dengan penawaran baharu pada hari ini. Melaluinya, Xiaomi Book Air 13 telah diperkenalkan sebagai sebuah ringan dan nipis, di samping turut memfokuskan terhadap keperluan produktiviti.

Xiaomi Book Air 13 dilengkapi skrin OLED sebesar 13.3-inci beresolusi 2880 X 1800 piksel dengan kadar segar semula standard 60Hz. Turut dimuatkan pada komputer riba ini adalah ciri tambahan seperti sokongan Dolby Vision, VESA Display HDR500, kecerahan puncak mencapai 600 nits dan bernisbah aspek 16:10. Menariknya, komputer riba ini turut mempunyai sokongan engsel yang boleh dibuka sehingga 360 darjah unutk kegunaan lebih pelbagai.

Perkakasan dalam pula terdiri dengan dua pilihan CPU, sama ada Intel Core i7-1250U atau Intel Core i5-1230U yang digabungkan dengan GPU Intel Iris Xe. Memori pula adalah 16GB LPDDR5 5200MHz dan storan dalaman 512GB PCIe 4.0 SSD secara terbina. Kapasiti bateri sebesar 58.3WHr dengan sistem pengecasan pantas 65W. Lain-lain spesifikasi termasuklah WiFi-6E, Bluetooth 5.2, dua port Thunderbolt 4 dan bicu audio 3.5mm.

Untuk harga, Xiaomi Air Book 13 dijual di China pada RMB4999 (i5) (~RM3258) dan RMB5599 (i7) (~RM3649).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd