Siri Huawei Mate50 Bakal Ke Pasaran Malaysia Pada 3 November 2022

Diterbitkan pada Okt 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri Mate 50 merupakan pembaharuan baharu daripada Huawei untuk rangkaian peranti mercunya. Tiada lagi penjenamaan Leica untuk kali ini, sebaliknya Huawei menggantikannya dengan sistem kamera XMAGE yang dilihat mampu sahaja mengekalkan pendirian mereka sebagai pengeluar peranti dengan kemampuan kamera menakjubkan.

Mengulas lanjut, Huawei kini mengesahkan bahawa peranti tersebut bakal ditawarkan di Malaysia pada 3 November 2022. Melihat kemas kini di laman web rasmi, sebanyak dua variasi bakal ditawarkan kelak yang merangkumi Mate50 dan Mate50 Pro. Tiada maklumat mengenai ketersediaan dan harga jualan yang diketahui setakat ini namun kami akan berkongsi lanjut dalam kemaskini yang akan datang.

Huawei Mate50 menggunakan skrin OLED 6.7-inci dengan kadar segar semula 90Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G, memori 8GB RAM, storan dalaman 256GB dan sokongan kad NM sehingga 256GB. Bateri pula sebesar 4,460mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 66W dan nirwayar 50W. Seterusnya kamera utama 50MP (OIS) + 13MP + 13MP dan kamera swafoto 13MP turut digunakan pada peranti ini.

Huawei Mate50 Pro pula dilengkapi skrin sebesar 6.74-inci OLED dengan kadar segar semula 120Hz. Cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G dengan memori 8GB RAM, storan dalaman 512GB dan sokongan kad NM sehingga 256GB turut digunakan. Kapasiti bateri adalah 4,700mAh dengan sistem pengecasan berwayar 66W dan nirwayar 55W. Kamera utama pula 50MP (OIS) + 13MP + 64MP dan kamera swafoto 13MP.

komen


© Amanz / 2022 Kami