Metaverse Ialah Terma Yang Tidak Akan Digunakan Di Apple – Greg Joswiak

Diterbitkan pada Okt 28, 2022. oleh .

Apple dilihat sedang membangunkan peranti realiti maya mereka yang tersendiri, yang dijangka akan hadir dengan metamesta yang akan dibangunkan oleh mereka juga. Peranti ini dijangka akan diperkenalkan secara rasminya oleh Apple sekitar tahun hadapan.

Baru-baru ini, Craig Federighi dan Greg Joswiak, dua timbalan presiden Apple telah ditemubual oleh Wall Street Journal, menanyakan mereka tentang peranti realiti maya dan juga “metaverse” yang akan dibina oleh mereka.

Seperti biasa, pihak Apple tidak memberikan sebarang komen mengenai produk yang belum dilancarkan, tetapi Greg Joswiak, Timbalan Presiden Pemasaran Global mengatakan bahawa Apple sebagai sebuah syarikat tidak akan menggunakan terma “metaverse” untuk dunia maya mereka.

Ini mungkin adalah kerana terma “metaverse” tersebut dicipta oleh Meta, ibu syarikat Facebook untuk mempromosikan teknologi realiti maya mereka sendiri, yang kini dilihat seperti sedang memakan diri kerana kos kemasukan yang tidak boleh ditampung oleh orang ramai.

Walaupun begitu, set realiti maya Apple sendiri juga dijangka akan hadir dengan tanda harga mampu lihat sahaja apabila ia diperkenalkan kelak. Butiran mengenai metamesta Apple sendiri juga tidak diketahui lagi, dan tidak diketahui bilakah ia akan diperlihatkan.

komen


© Amanz / 2023 Kami