PRISM+ Flow Dan Symphony Dilancarkan – Soundbar Dolby Atmos Pada Harga Bermula RM799

Diterbitkan pada Okt 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Prism+ adalah jenama yang terkenal dengan penawaran televisyen dan monitor pada harga lebih mampu milik berbanding pesaing. Mereka turut menawarkan pelbagai jenis kaki untuk televisyen, pemegang untuk monitor dan turut mempunyai penyaman udara tersendiri.

Terkini, mereka menceburi bidang audio pula dengan pelancaran dua soundbar dengan audio Dolby iaitu PRISM+ Flow dan PRISM+ Symphony.

PRISM+ Flow

Soundbar ini adalah versi mampu milik mereka dengan sokongan Dolby Audio, Dolby Digial dan Dolby Digital Plus. PRISM+ menawarkan audio yang jelas, bass yang dalam serta pengalaman audio menyeluruh untuk pengalaman pendengaran yang imersif. Soundbar ini turut menyokong kawalan ara suara automatik dan mampu memberi audio yang lebih kuat.

Pada pemacu audio terdapat jaring yang menapis audio untuk memberi kesan akustik yang baik. PRISM+ Flow adalah soundbar dengan saluran 2.1 yang menggunakan 2 pemacu audio, 1x tweeter dengan kuasa 240W serta dipadankan dengan subwoofer 6.5-inci untuk bass yang menjanjikan dentuman yang kuat.

Ia hadir dengan sambungan Bluetooth 5.1 jika ingin digunakan bersama telefon pintar atau sambungan berwayar melalui bicu audio 3.5mm, HDMI ARC, coaxial, USB atau juga optikal. Soundbar ini turut boleh dikawal dengan alat kawalan jauh televisyen PRISM+.

PRISM+ Symphony

Symphony pula adalah soundbar mercu mereka dengan sokongan audio Dolby Atmos, Dolby Digital, Dolby Digital Plus serta Dolby TrueHD dengan saluran audio 5.1.2 untuk pengalaman audio berganda imersif dan menyeluruh. Soundbar ini turut menawarkan teknologi audio 3D daripada televisyen Q Series Pro mereka.

PRISM+ Symphony hadir dengan 4 pemacu audio yang menembak ke atas, 4 ke hadapan, 2 di kiri dan kanan untuk audio menyeluruh dan satu pemacu 8-inci pada subwoofer. PRISM+ menjanjikan audio 360 darjah dengan kuasa 760W. Untuk sambungan, ia turut menyokong Bluetoth 5.1, berwayar melalui bicu audio 3.5mm, coaxial, optikal, USB, mempunyai HDMI eARC dan 2x HDMI.

Seperti Flow, ia turut boleh dikawal dengan alat kawalan jauh televisyen PRISM+.

Kedua-dua sounbar ini hadir dengan rekaan yang minimalistik, ringkas dan elegan sesuai untuk dipadankan dengan televisyen PRISM+ atau juga mana-mana televisyen lain. Ia turut menyokong pebagai mod audio untuk kesesuaian dengan kandungan seperti filem, sukan, muzik atau permainan video.

Ia kini sudah boleh dipra-tempah pada hari ini 28 Oktober pada harga RM799 untuk PRISM+ Flow dan RM1,999 untuk PRISM+ Symphony. Penghantaran hanya akan dilakukan bermula pertengahan November akan datang.

komen


© Amanz / 2022 Kami