Realme telah berkongsi perancangan baharunya untuk hadir dengan telefon pintar baharu pada November depan. Melaluinya, siri Realme 10 akan diperkenalkan dengan tiga fokus utama yang merangkumi prestasi, paparan dan reka bentuk lebih baik. Salah satu daripadanya juga telah ditemui tersenarai di laman SIRIM, sekaligus memberi bayangan ia mungkin dipasarkan di Malaysia dalam masa terdekat.
Mengulas lebih lanjut, maklumat mengenai cip pemprosesan Realme 10 kini bukan lagi rahsia apabila ia telah didedahkan menerusi ciapan terkini di Twitter. Ia menunjukkan telefon pintar tersebut akan dilengkapi cip MediaTek Helio G99 sekaligus menjadikannya terhad dengan sokongan 4G terbina sahaja.
Dalam perkongsian yang sama, markah penanda aras Antutu untuk telefon pintar tersebut turut dikongsi yang menunjukkan kutipan sebanyak 400,086 mata. Ia bagaimanapun sekadar kutipan mata yang diiklankan tetapi sudah semestinya terdapat perbezaannya untuk unit yang dipasarkan kelak.
Siri Realme 10 dijangka hadir dalam beberapa variasi berbeza termasuklah model pro plus sepertimana yang diperkenalkan pada siri sebelum ini. Pun begitu, tiada tarikh pelancaran rasmi khusus yang didedahkan sehingga ke hari ini.