Google Pernah Menguji Ciri Imbasan Iris Pada Pixel 2

Diterbitkan pada Okt 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa tahun lepas, sebelum FaceID dan ciri imbasan wajah untuk menyahkunci peranti menjadi trend, pengeluar peranti hanya menggunakan imbasan cap jari. Pada tahun 2018, Samsung memperkenalkan pengimbas iris melalui Galaxy S8 dan S8+ yang menjanjikan sekuriti lebih baik.

Kemudian pada Samsung Galaxy S9 mereka gabungkan dengan imbasan wajah melalui Intelligent Scan. Tetapi tahukah anda yang Google juga pernah menguji ciri pengimbas iris pada peranti Pixel? Peranti ini adalah Pixel 2, atau lebih tepat salah satu daripada prototaip Pixel 2.

Perkara ini ditemui oleh Internal Archive melalui unit prototaip Pixel 2 dengan kod nama Walleye (EVT-E). Ia dikatakan adalah unit awal dengan banyak elemen penting pada peranti dan perisian tidak lengkap.

Sensor infra merah untuk imbasan iris berada di depan sekitar dahi peranti. Ia berada di kiri dan kanan dan memerlukan aplikasi IrisDemo untuk pengesahan dan mendaftar iris pada peranti. Dalam aplikasi ini turut ada arahan kepada pengguna untuk melihat skrin secara spesifik.

Tetapi ciri ini tidak diperkenalkan pada peranti Pixel dengan Pixel 3 menggunakan dua sensor hadapan untuk dwi-kamera swafoto dan Pixel 4 menggunakan sensor radar Soli untuk imbasan wajah. Adakah mereka sedari imbasan iris tidak relevan dan imbasan wajah dengan kecerdasan buatan adalah masa hadapan? Apa kata anda?

komen


© Amanz / 2022 Kami