Carian
Skor Penanda-aras Intel Core i9-13900HK Tertiris
October 31, 2022 Nazrin

Intel baru-baru ini telah melancarkan siri cip pemprosesan Intel generasi ke-13 Raptor Lake mereka untuk komputer desktop, dan ia telah dilihat sebagai siri cip pemprosesan yang terbaik di pasaran sekarang.

Mereka dijangka akan melancarkan cip pemprosesan Raptor Lake untuk komputer riba pada awal tahun hadapan, tetapi kini, nampaknya skor penanda-aras awal untuk cip pemprosesan tersebut telahpun diperlihatkan.

Seperti biasa, penanda-aras yang diperlihatkan ialah GeekBench yang telah digunakan untuk menguji kebolehan satu teras dan multi-teras cip pemprosesan paling berkuasa Intel yang akan dilancarkan untuk kelas komputer riba, iaitu Intel Core i9-13900HK.

Cip pemprosesan ini mempunyai 14 teras fizikal dan 20 bebenang kuasa dan menggunakan gabungan teras Performance dan Efficiency yang digunakan sejak cip pemprosesan generasi ke-12 sebelum ini. Apa yang menarik kali ini ialah cip pemprosesan ini dilaporkan juga boleh dilewahjam sehingga 5.4GHz, 400MHz lebih pantas berbanding dengan cip pemprosesan sama pada siri sebelumnya.

Beralih kepada skor penanda-aras cip pemprosesan Intel Core i9-13900HK ini, ia dilihat mendapat skor satu teras 1870 manakala skor multi-teras pula dilihat setinggi 12436 mata. Skor-skor ini dilihat sama-tara dengan cip-cip pemprosesan Intel Alder Lake sebelum ini, tetapi oleh kerana ini masih lagi dilihat sebagai ujian awal, skor-skor ini berkemungkinan akan meningkat lagi apabila ia dilancarkan kelak.

Seperti yang dikatakan, Intel dijangka akan membuat pengumuman rasmi mengenai cip pemprosesan ini pada awal tahun hadapan di acara CES 2023 dengan jenama-jenama pembuat komputer riba seperti ASUS, MSI dan sebagainya akan memperlihatkan penawaran mereka pada masa yang sama.

Komen