Seperti yang diketahui umum, Realme kini dalam persediaan untuk hadir dengan penawaran baharu di bawah siri Realme 10. Enggan terus berteka-teki, spesifikasi untuk Realme 10 kini didedahkan lebih awal menerusi laman web rasmi Realme Indonesia. Bukan itu sahaja, tarikh pelancaran turut dikongsi yang dijadualkan berlangsung pada 9 November 2022.
Realme 10 ialah sebuah lagi telefon pintar dengan janaan cip MediaTek Helio G99, sekaligus menjadikannya terhad dengan sokongan 4G sahaja. Turut disertakan adalah pilihan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB terbina. Sebagai tambahan, sokongan RAM maya mencapai 8GB RAM turut disertakan.
Sistem dwi-kamera digunakan dengan sensor utama 50MP, di samping kamera hadapan sebesar 16MP. Batari pula sebesar 5000mAh yang menyokong sistem pengecasan berwayar 33W. Saiz skrin tidak pula didedahkan tetapi panel adalah sejenis AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz.
Kesemua ciri dan fungsi ini dimuatkan ke dalam sebuah telefon pintar dengan tubuh berkotak dan panel hadapan sejenis rata yang berlubang. Dalam masa sama, terdapat dua pilihan warna disediakan yang terdiri dengan Clash Black dan Rush White.