Carian
FlexCam Adalah Ciri Terbaik Pada Samsung Galaxy Z Flip4
November 14, 2022 Fahim Zahar

Saya masih setia dengan pendapat saya, di mana Samsung Galaxy Z Flip4 adalah peranti dengan skrin boleh-lipat jenis clamshell terbaik setakat ini. Bukan sahaja kerana rekaannya yang kompak dan nampak cool, warnanya yang ceria, binaan yang premium, atau kamera yang lebih cantik – tetapi adalah kerana FlexCam.

Dengan FlexCam, ia mengubah Samsung Galaxy Z Flip4 menjadi sebuah perakam video (camcorder) yang pada suatu masa dahulu menjadi gajet penting untuk merakam video atau “mencipta kandungan”. Samsung dilihat menyasarkan peranti ini kepada golongan Gen Z yang mungkin tidak tahu apa itu perakam video atau pernah tahu tetapi tidak pernah menggunakannya.

Ini secara tidak langsung menjadikan Samsung Galaxy Z Flip4 mudah digunakan dan lebih bergaya ketika menggunakannya.

Swafoto lebih cool dan berkualiti

Dengan FlexCam, pengguna akan lebih mudah mengambil gambar atau merakam video secara sendiri. Tidak lagi perlu risau tangan pendek, sudut rakaman yang tidak sesuai kerana semuanya boleh dilakukan sendiri dengan mudah dan boleh berlagak sebagai seorang profesional. Ini kerana, Samsung Galaxy Z Flip hadir dengan skrin kedua di hadapan Cover Screen dan ketika menggunakan kamera tekan sahaja ikon cover screen – pengguna boleh merakam video atau mengambil gambar menggunakan dwi-kamera utama yang berkualiti tinggi.

Lipat peranti dalam keadaan separuh, ia akan lebih mudah pegang di satu tangan dan gunakan tangan lagi satu untuk tunjuk tapak tangan agar pengatup kamera boleh ditekan secara automatik. Letak sahaja peranti pada permukaan rata, tidak kira melintang atau apa jua keadaan – ubah sudut lipatan untuk merakam hasil yang lebih kreatif yang pasti akan memeriahkan media sosial pengguna.

Ambil gambar sudut pandangan atas dengan mudah

Pernah atau tidak anda lihat pempengaruh media sosial kongsi gambar makanan menarik, kongsi susunan barangan di bawa setiap hari (EDC, Everyday Cary) atau gambar menarik lain yang membuatkan anda teruja? Pada saya, gambar seperti ini biasanya adalah yang diambil dari sudut pandangan atas. Ini biasa boleh dilakukan dengan panjat kerusi atau meja, tripod mahal dan pelbagai aksesori lain.

Tetapi dengan FlexCam pada Samsung Galaxy Z Flip4, hanya letakkan peranti dalam mod 90 darjah – buka kamera dalam mod potret atau mod sudut ultra lebar dan tekan butang pengatup pada skrin dengan satu jari sahaja. Ambil beberapa gambar yang berbeza untuk pilih hasil yang paling menusuk jiwa.

Hasil video menegak yang hebat

Gen Z sekarang tidak boleh lari daripada kandungan video menegak, sama ada tonton untuk hiburan tersendiri atau merakam sendiri untuk tontonan orang lain. Merakam video menegak biasanya memerlukan tripod atau rakan, tetapi FlexCam pada Samsung Galaxy Z Flip4 membolehkan sesiapa merakam video menegak sendiri sepenuhnya pada kualiti terbaik.

Percayalah, saya sendiri sudah cuba dan jurukamera di Amanz turut teruja dengan hasil peranti ini. Letakkan peranti dalam keadaan separa lipat tidak kira pada sudut mana, bergantung pada kreativiti masing-masing. Pastikan paparan pada cover screen dihidupkan, tetapkan nisbah rakaman video ke 22:9 atau 9:16, gunakan gestur tangan atau sebut perkataan “Record video“, “Smile“, “Cheese” dam beberapa lagi untuk memulakan rakaman. Anda boleh rujuk cover screen untuk lihat adakah diri dalam bingkai di tengah dan selesai rakam hasilnya pasti akan memuaskan dengan video beresolusi FHD.

Jika ingin UHD, rakam pada 16:9 dan sunting kemudian dengan pangkas pada bahagian yang ingin dipaparkan dalam bentuk menegak.

Mod perakam video yang mengimbau teknologi silam

Seperti yang saya katakan tadi, mod FlexCam pada Samsung Galaxy Z Flip4 turut mengimbau kembali kaedah penggunaan seakan sebuah perakam video. Zaman sekarang, banyak idea gajet lama dikembalikan dalam iterasi moden.

Melalui FlexCam, pengguna boleh menjadikan separuh bahagian peranti Galaxy Z Flip4 sebagai pemidang tilik da separuh lagi sebagai panel kawalan. Bukan itu sahaja, skrin turut boleh diubah pada pelbagai sudut pandangan berbeza untuk merakam video atau mengambil gambar dengan lebih kreatif. Misalnya, pegang peranti secara melintang dan tetapkan pada mod 90 darjah. Kemudian boleh ubah ke mod 60 darjah, 115 darjah, terus terbuka untuk mod 180 darjah atau dalam keadaan tertutup untuk mod 0 darjah.

Saya pernah sempat menggunakan perakam video ketika zaman sekolah, dan menggunakannya semula pada Samsung Galaxy Z Flip4 membuatkan saya teringat kenangan semasa dahulu yang bentuk rakaman seperti ini adalah unik dan menarik.

Guna FlexCam Sambil Memandu

Disebabkan penggunaan FlexCam ini membolehkan pengguna menggunakan peranti Samsng Galaxy Z Flip4 tanpa sebarang tripod atau pemegang, ia juga selamat digunakan ketika memandu. Jangan salah faham, bukan saya maksudkan anda perlu pegang peranti sambil memandu – sebaliknya letakkan peranti dalam mod 90 darjah dan letak di atas papan pemuka kereta. Gunakan mod rakaman Directors View, anda boleh rakam menggunakan kamera swafoto dan kamera belakang serentak.

Ini sesuai untuk mereka yang selalu merantau atau bercuti dan ingin hasilkan vlog pengalaman. Misalnya, kamera swafoto merakam diri anda sedang bercakap berkongsi sesuatu dan kamera belakang merakam pemandangan, selok-belok jalan, atau menampakkan kereta-kereta unik di kawasan anda bercuti.

Kesimpulan

Jadi jangan terkejut jika anda rasakan kamera 12MP pada peranti ini tidak mencukupi, kerana FlexCam melengkapkan pengalaman penggunaannya. Dengan janaan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang mempunyai sistem pengimejan lebih baik, hasil gambar dan video 65% lebih terang berbanding generasi lama. Tidak lupa dengan bateri yang lebih besar, tiada masalah untuk menggunakan peranti ini untuk mencipta kandungan sepanjang hari.

Jangan lupa, Samsung Galaxy Z Flip4 adalah peranti dengan skrin boleh-lipat, jadi menggunakan peranti ini turut akan membuatkan orang ramai terpegun dan menjadi bualan kerana keunikan pada rekaannya serta membuat pengguna lebih bergaya dan nampak cool.

Jika anda berminat untuk memiliki peranti Samsung Galaxy Z Flip4, anda boleh membelinya melalui laman web Samsung Malaysia pada harga bermula RM4,099. Terdapat lima pilihan warna boleh dipilih iaitu Bora Purple, Graphite, Pink Gold dan Blue atau Bespoke Edition dengan panel yang warnanya boleh dipilih oleh pembeli sendiri (hanya di Samsung.com pada ahrga RM4,199). Mereka yang membeli turut boleh mendapatkan Samsung Galaxy Watch4 bernilai RM799 percuma, dua tahun jaminan dengan perlindungan skrin serta percuma tiga kali pertukaran pelindung skrin.

Penafian: Advertorial dari Samsung Malaysia

Komen