Elgato iaitu jenama di bawah Corsair, tidak asing dalam arena permainan video – lebih-lebih lagi untuk para gamer menstrim sesi permainan mereka untuk berinteraksi bersama-sama dengan pengikut, memperlihatkan cara mereka bermain dan pelbagai lagi.
Jika sebelum ini mereka terkenal dengan aksesori perakam permainan video, mereka kini meneruskan lagi mengembangkan penawaran untuk ekosistem penstriman permainan video dengan kamera web pula. Sebelum ini mereka hadir dengan Facecam, kini mereka melancarkan Facecame Pro pula.
Facecam Pro boleh merakam video 4K 60FPS dengan menjanjikan warna yang bagus, terang dan tajam. Ia turut memberi pengguna kawalan seperti mengubah kelajuan pengatup, ISO, keseimbangan warna, menawarkan ciri autofokus atau manual, serta menyokong ciri zum dan menggerakkan kamera ke pelbagai sudut pandangan.
Kamera web ini hadir dengan jarak fokal 21mm, f/2.0, lensa 8 elemen, tiada kensa pantulan dan mimik lensa bingkai penuh. Facecam Pro menggunakan sensor Sony STARVIS 4K CMOS, sambungan USB-C 3.0, mempunyai storan terbina dan hadir dengan perisian Camera Hub untuk pelbagai kawalan.
Harga jualan Facecam Pro adalah $299.99 iaitu sekitar RM1,424.